Tragedi kapal MV Tung Sung, satu mayat ditemui, tiga lagi masih hilang

KUCHING: Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) dalam kapal MV Tung Sung oleh pasukan penyelamat telah menjumpai satu mayat dalam kabin kapal MV Tung Sung lebih kurang pukul 12.14 tengah hari tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus dala kenyataannya hari ini berkata, usaha pencarian yang dijalankan pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah diaturgerak terlebih dahulu bagi memeriksa keadaan dalam kapal.

Ianya menurut beliau bagi mengesan sekiranya terdapat gas beracun yang akan membahayakan keselamatan pasukan carilamat.

 "Setelah keadaan dipastikan selamat, usaha pencarian dalam kapal telah dilakukan dan menemui satu mayat di dalam kabin kapal tersebut," ujarnya.

Mayat yang ditemui telah dibawa ke Jeti Lembaga Sungai - Sungai Sarawak (LSSS) Sebuyau sebelum di serah kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dibawa ke Hospital Umum Sarawak, Kuching bagi pengesahan identiti dan siasatan lanjut.

Pencarian dalam kapal pada hari ini katanya terpaksa ditangguhkan sementara pada sebelah tengah hari kerana kerja-kerja mengepam air masih dilakukan di bahagian jentera kapal. 

Pencarian katanya akan disambung semula setelah air dipam keluar.

 Beliau sebagai berkata bahawa usaha pencarian dalam bilik jentera kapal MV Tung Sung mendapati tiada sebarang penemuan ditemui berkenaan baki tiga mangsa yang masih hilang.

Berikutan itu ujarnya , Op Carilamat Insiden MV Tung Sung terbalik telah ditamatkan pada pukul 6.30 petang tadi setelah tiada penemuan baharu.

Op Carilamat akan disambung semula sekiranya terdapat sebarang penemuan petunjuk baharu dan aset-aset daripada pasukan penyelamat akan melaksanakan pencarian semasa operasi rutin agensi masing-masing.

Gambar APMM
Next Post Previous Post