Suri rumah rugi RM183,000 selepas dikelentong ‘Sarah’

BINTULU— Seorang suri rumah mengalami kerugian sebanyak RM183,000 akibat diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan sambilan atas talian.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Dato Mancha Ata berkata, berdasarkan laporan, mangsa berusia pertengahan 40-an pada 18 Julai lalu semasa berada di rumahnya telah dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp Equity Builders b13 oleh individu yang tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai ‘Sarah’.

“Suspek kemudian menawarkan kerja sambilan atas talian dengan membuat task online iaitu mangsa perlu like, follow akaun Tiktok yang diberikan serta membuat tangkap layar dan dihantar kepada suspek.

“Seterusnya mangsa telah dihubungi oleh suspek secara personal melalui aplikasi telegram dan suspek telah berikan mangsa satu link iaitu https://equitybuilders.pacificgn.tech untuk membeli pakej task online.

“Mangsa kemudian telah membuat 16 kali transaksi pembayaran kelima akaun bank yang berbeza sekitar bulan ini yang melibatkan kerugian sebanyak RM183,000 dan sehingga kini, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM300,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mancha menambah, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila tidak lagi mendapat wang pulangan komisen seperti dijanjikan oleh suspek.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah tertarik dan terpedaya dengan sesuatu tawaran kerja sambilan atas talian melalui media sosial yang menawarkan gaji lumayan serta menyediakan pelbagai kemudahan seperti komisyen dan pulangan duit yang tinggi atau bayaran kerja lebih masa.
Next Post Previous Post