Keseronokan mencari kepah tepi pantai bertukar tragedi, dua ditemui mati lemas dibawa arus laut
KUCHING: Keseronokan mencari kepah bertukar tragedi apabila dua daripada tiga sahabat yang bersama-sama mencari hasil laut itu lemas dibawa arus deras laut di kawasan Esplanade Buntal di Jalan Kampung Buntal awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya hari ini mengesahkan, kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Amin Umar, 39, dan Awang Khairul Aziq Awg Chula, 25, ditemui penduduk kampung dan pasukan bomba pada jarak 400 meter dari lokasi kedua-dua mangsa dihanyutkan air deras antara jam 3.30 pagi dan 3.42 pagi.
Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 12.47 tengah malam itu, ketiga-tiga mangsa sedang leka mencari kepah di kawasan pantai sebelum dua daripadanya hanyut dibawa arus deras air laut.
Seorang mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri ke kawasan tebing dalam insiden terbabit.
Gambar PGO Sarawak