Guna kemajuan teknologi perkasa masjid, Abang Johari

Abang Johari menyampaikan penghargaan khas kepada wakil masjid sempena Majlis Perasmian Muktamar Masjid-Masjid Serantau di sebuah hotel terkemuka, pada Rabu.

KUCHING— Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penggunaan teknologi perlu ditekankan dalam memperkasa pentadbiran dan pengurusan masjid di negeri ini.

Beliau berkata, umat Islam perlu mengambil kesempatan kemajuan teknologi dan media sosial agar mereka tidak ketinggalan dan pada masa yang sama membantu usaha dakwah.

“Kalau media sosial ini dia ada satu perkataan yang sangat penting iaitu (www) “world wide web”. Web ini adalah jaringan dan kalau kita sudah ada jaringan ini, biarlah kita Islam mempunyai jaringan diantara kita setidak-tidaknya di Nusantara,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Muktamar Masjid-Masjid Serantau di sebuah hotel terkemuka, pada Rabu.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak juga telah meminta Majlis Islam Sarawak menyebarkan ilmu kepada umat Islam, untuk kerajaan memberikan hala tuju dan membangunkan ummah hingga ke tahun 2030.

“Ini adalah matlamat kita insya-Allah dan seterusnya selepas 2030 dengan generasi baharu yang mempunyai idea dan menggunakan teknologi baharu untuk membangunkan syiar Islam demi kebaikan umat manusia,” kata beliau.

Premier Sarawak juga menyatakan bahawa Sarawak telah bekerjasama dengan Universiti Oxford di United Kingdom melalui Pusat Islam, serta menjalin kerjasama dengan negara-negara Islam di Timur Tengah. 

Beliau juga melaporkan hasil kerjasama dengan masyarakat Islam di New Zealand, Australia, di mana terdapat masjid dan sekolah antarabangsa yang menggunakan kurikulum Islam di samping kurikulum pendidikan tempatan. Beliau menyatakan hasrat untuk menubuhkan sekolah Islam antarabangsa di Sarawak sebagai sebahagian daripada rangkaian ini.

"Saya percaya pendekatan kita adalah selaras dengan konsep Maqasid al-Syariah dalam pentadbiran dan pengurusan. Jika pendekatan ini berjalan dengan baik, umat Islam akan menjadi rakyat yang maju dan berpendapatan tinggi," tambah Premier Sarawak.

Muktamar kali ini yang bertemakan "Masjid Makmur Ummah Sejahtera" diadakan bertujuan untuk mengukuhkan ilmu, ukhwah serta kehafaman mengenai peranan masjid sebagai institusi dalam pembanggunan ummah dan seramai 15 orang pembentang dari Indonesia, Singapura serta Brunei dijemput untuk membentangkan kertas kerja.

Pada majlis yang sama Abang Johari diberi penghormatan untuk menyampaikan penghargaan khas kepada masjid serta surau di Sarawak atas penglibatan aktif dan kreatif selari dengan perkembangan teknologi, khidmat komuniti dan seni bina yang menggambarkan masyarakat majmuk di Sarawak dan penghargaan khas kepada imam masjid yang berkhidmat melebihi tempoh 25 tahun.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin dan kenamaan yang lain. 

Gambar ihsan Jabatan Premier Sarawak
Next Post Previous Post