Didakwa terlibat jenayah di Semenanjung, wanita rugi RM300,000

KUCHING-- Seorang wanita di sini mengalami kerugian lebih RM300,000 selepas menjadi mangsa penipuan oleh seorang individu yang menyamar sebagai anggota polis, mendakwa mangsa terlibat dalam kes jenayah di Semenanjung Malaysia.

Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, pihaknya baru-baru ini menerima aduan daripada mangsa yang dikenali sebagai "Puan Kuan" yang memaklumkan bahawa dia telah menjadi mangsa penipuan.

"Pada Mei 2023, mangsa menerima panggilan tanpa nama daripada seorang yang mendakwa diri sebagai anggota polis dan menuduhnya terlibat dalam aktiviti jenayah di Semenanjung Malaysia. 

"Penyamar itu malah meminta Puan Kuan melaporkan keberadaannya setiap jam kepadanya, menimbulkan ketakutan dan rasa percaya pada kata-kata penyamar itu," jelasnya.

Tambahnya, selepas berjaya memperdayakan mangsa, suspek menyakinkan mangsa untuk memindahkan wang simpanan ke dalam akaun bank baharu kerana mendakwa bank akaun (lama) mangsa akan dibekukan.

"Termakan dengan kata-kata itu, mangsa membuka akaun baharu di Affin Bank dan memasukan keseluruhan simpanannya iaitu lebih RM300,000 ke akaun berkenaan.

"Dalam masa tiga hari sahaja, wang simpanannya telah lesap daripada akaun Affin Bank," jelasnya. 

Susulan itu, kata Michael Kong, beliau bersama mangsa tampil ke bank berkenaan bagi mendapatkan penjelasan tentang kehilangan wang berkenaan.

"Isu yang dihadapi ialah bagaimana pemindahan besar yang melebihi RM90,000 sehari, melebihi had pemindahan Affin Bank untuk transaksi pihak ketiga sebanyak RM50,000 sehari, dibenarkan berlaku tanpa langkah perlindungan dicetuskan.

"Pegawai Affin Bank telah berjanji untuk menyiasat perkara itu dan memberikan jawapan dengan segera," dedahnya.

Justeru, tegas beliau, DAP akan terus komited untuk membantu mangsa yang tidak bersalah yang telah menjadi mangsa penipu ini. 

"Kita mesti sentiasa berwaspada, berhati-hati dan sentiasa maklum akan tentang taktik yang digunakan oleh penipu. 

"Marilah kita menyebarkan mesej ini bagi memperkasakan komuniti kita untuk melindungi diri daripada terpedaya dengan taktik penipuan ini," ujarnya.
Next Post Previous Post