Adik maut dicekik: Bapa dedah abang trauma lepas jadi mangsa buli di asrama

Gambar kenangan yang dirakamkan Najli bersama Muhammad Haziq (dua dari kiri), isteri dan anak-anaknya ketika berjalan-jalan di ibu kota, Kuala Lumpur pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

MELAKA— Tindakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang mencekik adiknya yang berusia 9 tahun sehingga meninggal dunia di Melaka semalam benar-benar mengejutkan.

Tambah menyayat hati, bapa kepada  anak-anak ini, Najli Yakob, 42, mendedahkan anak sulung yang mencekik mati adiknya semalam didakwa sering menjadi mangsa buli pelajar senior sekolah asrama sejak tahun lalu.

Najli berkata, anak sulungnya itu kerap mengadu hampir setiap hari  dipukul, disepak dan dicekik pelajar senior asrama sebuah sekolah arab di Alor Gajah itu.

"Dia pernah beritahu dicekik ketika tidur, dan disimbah air, malah laporan polis berhubung kejadian buli juga telah dibuat, akibat trauma dan pendam segalanya, saya yakin dia tak sedar apa yang telah dilakukan terhadap adiknya.

"Dia mengakui pernah ditumbuk, disepak guna kasut but namun selepas setahun dia tak lagi sebut nama dua pelajar itu kerana tak mahu dicederakan lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Piatu di sini, pada malam Rabu, menurut Sinar Harian.

Menurut bapa kepada empat anak berusia 14 hingga 4 tahun itu, dia terkilan kerana setiap kali mendapat aduan anaknya itu, dia beranggapan buli sebagai lumrah di sekolah berasrama.

Katanya, insiden mencekik bukan pertama kali berlaku, namun dia dan isterinya yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Melaka juga pernah dicekik remaja terbabit.

Menurut Najli, sejak kejadian itu dia membawa anaknya itu mendapatkan rawatan yang kemudian menunjukkan perkembangan positif hujung bulan lalu, tetapi ustaz ada memaklumkan anaknya trauma kerana menjadi mangsa buli pelajar senior.

Katanya, kejadian buli itu pernah dilaporkan kepada pihak sekolah malah sudah membuat laporan polis selepas mendapati kesan kecederaan pada badan anak, namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap pelajar terbabit sehingga ke hari in.

Malam tadi media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik sehingga mati oleh abang kandungnya di rumah keluarga mereka di Kampung Bukit Piatu di sini kira-kira pukul 12 tengah hari.

Kejadian disedari ibunya yang terlihat perbuatan anak sulungnya itu melalui sistem sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari telefon bimbitnya sebelum menghubungi jirannya untuk membantu melihat anaknya di rumah.
Next Post Previous Post