Rokok, arak seludup bernilai lebih RM3.6 juta dirampas di Miri

MIRI-- Rokok dan arak tanpa cukai bernilai lebih RM3.6 juta dirampas dalam Op Kontraban di lima premis berasingan di sini, Rabu lalu.

Operasi itu dijalankan Pasukan Wildlife Crime Bereau/Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman bersama Pasukan Gerakan Am Batalion 12 Miri.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, seramai tujuh lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 16 hingga 47 tahun berjaya ditahan kerana disyaki terlibat dengan penjualan rokok dan minuman beralkohol tanpa cukai.

"Hasil pemeriksaan di kelima-lima premis tersebut, pihak polis telah merampas pelbagai minuman beralkohol tanpa cukai dan rokok pelbagai jenama tanpa cukai yang dianggarkan bernilai RM3,616,856.58. 

"Kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak terlibat atau bersubahat dalam aktiviti pembelian dan penjualan barangan tanpa cukai. 

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan ini dan orang awam dinasihatkan untuk mendapatkan bekalan daripada pengedar yang sah serta melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak polis," ujarnya.
Next Post Previous Post