Polis Sarawak berjaya tumpaskan sindiket pengedaran dadah di Kuching dan Miri
KUCHING-- Polis Sarawak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Kuching dan Miri dengan menangkap tujuh individu dan rampasan pelbagai jenis dadah berjumlah RM678,556.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, tangkapan dan rampasan itu menerusi tiga operasi khas yang dijalankan pada 19 Mei 2023 hingga 21 Mei 2023 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak.
"Operasi khas di sekitar bandaraya Kuching dan Miri ini, polis telah berjaya menangkap enam lelaki dan seorang perempuan berusia di antara 22 hingga 39 tahun," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azman berkata operasi pertama pada 19 Mei 2023 sekitar jam 10.45 pagi, sepasukan polis telah menangkap dua lelaki warga asing berusia 32 dan 34 tahun di sebuah pusat hiburan, di Jalan Calliandra, Miri dan merampas dadah bernilai RM249,505.
"Dadah yang dirampas adalah pil erimin 5 sebanyak 120 biji (33.9 gram) ketamin 72 paket (56.3 gram), pil ekstasi 338 biji (133.1 gram) dan campuran serbuk ekstasi dan jus - 2,959 gram, serbuk ekstasi 1,724.8 gram.
"Selain itu, sejumlah wang tunai RM2,000 turut disita untuk siasatan di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988," katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang mana suspek mendapatkan bekalan dadah dari seorang pembekal di Miri dan suspek hanya menjual dadah kepada pelanggan yang dikenali di premis tersebut.
Manakala operasi kedua pula, katanya pada 19 Mei 2023 jam 1.15 petang, sepasukan polis telah menangkap seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah pusat hiburan, di Bandar Baru Permyjaya, Miri dan merampas dadah bernilai RM57,765.00 iaitu pil erimin 5-10 biji (2.8 gram), ketamin 12.1 gram, campuran serbuk ekstasi dan jus 1,084.2 gram, pil ekstasi 105 biji (44.3 gram).
"Sejumlah RM637 wang tunai telah disita untuk siasatan di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.
Dalam operasi ketiga pada 20 Mei 2023, sekitar jam 11.35 malam, Azman memberitahu sepasukan polis telah menangkap seorang lelaki berusia 39 tahun dan seorang perempuan berusia 31 tahun di tepi jalan berhadapan balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan merampas 10,301 gram dadah syabu serta 2.7 gram ketamin yang dianggarkan bernilai RM371,286.
"Berikutan itu, pada 21 Mei 2023, jam 2 pagi bertempat di sebuah hotel di Puchong, Selangor, yang mana dua orang lagi ahli sindiket telah ditangkap oleh JSJN Selangor," ujarnya.
Menurutnya lagi, sebuah kereta Perodua Viva bernilai RM15,000 dan sejumlah wang tunai RM1,382 disita untuk siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (perlucuthakan harta) 1988.
"Modus operandi, suspek mendapatkan bekalan dadah dari ahli sindiket di Semenanjung Malaysia dan dadah dibungkus dalam kotak makanan dan dimasukkan ke dalam kotak tisu sebelum didaftar masuk untuk penerbangan dari KLIA ke Kuching.
"Dadah tersebut adalah untuk pasaran sekitar Kuching dan daerah-daerah berhampiran," dedahnya.
Tegasnya lagi, kedua-dua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau.
Justeru, beliau memberitahu PDRM khususnya JSJN akan terus mempertingkatkan usaha membanteras habis-habisan kegiatan pengedaran dadah dengan penguatkuasaan yang berkesan dan profesional.
"Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyampaikan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah melalui talian hotline jsjn bukit aman 012-2087222," ujarnya.