Op Khas Gawai: 56 lokasi kerap kemalangan diberi tumpuan

KUCHING-- Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak akan menempatkan pegawai dan anggota di 56 lokasi terpilih yang sering berlaku kemalangan jalan raya sepanjang Op Khas sempena Perayaan Hari Gawai Dayak 2023 ini. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak, khususnya Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik akan mengadakan satu Operasi Khas sempena sambutan Perayaan Hari Gawai Dayak Tahun 2023 selama lapan hari bermula 29 Mei hingga 5 Jun 2023.

"Tumpuan Op Khas sempena Perayaan Hari Gawai Dayak Tahun 2023 adalah di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan Jalan Bandaran terutamanya di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan kesesakan lalulintas dan juga kawasan perumahan dan penempatan orang ramai.

"Di samping itu, kawasan perairan juga akan diberi tumpuan dengan menggerakkan elemen Pasukan Polis Marin (PPM) bagi memantau pergerakkan di perairan bagi daerah-daerah yang menggunakan pengangkutan air seperti Sibu, Kapit, Song, Belaga, Kanowit dan Tatau serta lain-lain daerah yang banyak menggunakan laluan sungai," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Azman berkata, operasi itu bertujuan untuk menurunkan kadar kemalangan jalan raya di Sarawak di sepanjang tempoh perayaan ini.

Pada masa sama katanya, ia juga bagi menguatkuasakan undang-undang dan peraturan lalulintas selain mewujudkan rasa selesa dan selamat di kalangan pengguna jalan raya. 

"Untuk itu, Pegawai dan Anggota Polis akan diletakkan di 56 lokasi terpilih iaitu yang sering berlaku kemalangan jalan raya," jelasnya. 

Selain itu, beliau memberitahu Op Khas sempena Perayaan Hari Gawai Dayak ini juga bertujuan untuk mencegah jenayah pecah rumah iaitu ke atas rumah-rumah yang ditinggalkan semasa penghuni pulang bercuti dengan membuat rondaan berkala bagi memastikan premis dan rumah-rumah kediaman yang ditinggalkan itu berada dalam keadaan selamat dari sebarang pelakuan jenayah.

Selain daripada bermatlamat menurunkan kes kemalangan jalan raya dan kes pecah rumah jelasnya, operasi juga akan bekerjasama dengan Lembaga Sungai Sarawak dan Jabatan Laut Sarawak untuk memberi tumpuan kepada pengusaha bot-bot express dan pengguna-pengguna perahu bagi memastikan keselamatan Denumpang yang menggunakan pengangkutan air, agar matlamat kemalangan sifar di sungai dan di laut akan dapat tercapai.

"Operasi ini akan melibatkan semua Cawangan dan Jabatan dalam PDRM Kontinjen Sarawak dan akan melibatkan semua daerah di Sarawak. 

"Sepanjang tempoh Op Khas sempena Hari Gawai Dayak Tahun 2023 seramai lebih kurang 850 pegawai dan anggota polis Kontinjen Sarawak dari pelbagai Cawangan dan Jabatan akan terlibat bagi menentukan keselamatan pengguna jalan raya dan juga bagi memastikan rumah-rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat di seluruh Negeri Sarawak," ujarnya. 

Dalam pada itu, Azman berkongsi tiga cara yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk memaklumkan kepada pihak polis sebelum mereka meninggalkan rumah untuk pulang bercuti.

Pertama, katanya, melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang mana pengguna boleh mendaftar sebagai ahli VSP dengan memuat turun Aplikasi VSP.

Kedua pula, tambahnya, menelefon ke Balai Polis yang berdekatan ataupun datang sendiri ke Balai-balai Polis yang berdekatan dengan kediaman mereka.

"Ketiga mengisi borang balik kampung yang ada di dalam laman web PDRM atau portal Trafik PDRM," jelasnya. 

Justeru, beliau menasihatkan kepada semua pengguna jalanraya supaya mematuhi peraturan lalulintas serta mematuhi arahan daripada anggota penguatkuasa yang bertugas di jalanraya di sepanjang tempoh musim perayaan ini. 

Katanya lagi, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengguna jalanraya yang didapati melanggar dan tidak mematuhi peraturan lalulintas. 

"Sentiasa utamakan keselamatan diri serta keselamatan keluarga dan ingat orang yang tersayang.

"Adalah diharap semoga operasi ini akan dapat mencapai matlamat yang disasarkan, iaitu dapat mengurangkan kadar kemalangan jalanraya di seluruh Sarawak dan dapat mencegah kejadian pecah rumah serta kemalangan sifar di sungai dan laut di sepanjang tempoh musim perayaan ini.

"Pihak PDRM Kontinjen Sarawak juga meminta orang ramai supaya memberi kerjasama dan memaklumkan kepada pihak Polis apabila meninggalkan rumah kediaman di musim perayaan ini," katanya. 

Next Post Previous Post