Lelaki terkejut lot menjadi "Tanah Kerajaan" selepas izinkan Sarawak Energy bina menara

KUCHING-- Seorang penduduk dalam keadaan tertekan dan keliru apabila mengetahui tanah miliknya bertukar status sebagai tanah kerajaan.

Pengadu yang dikenali sebagai Tan berkata, pertukaran status itu melibatkan tanah berkeluasan 3.2 ekar di Lot 443.

Menurutnya, perkara itu diketahui pada April lalu selepas pemilik berdaftar di tanah bersebelahan menerima notis daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk hadir ke mesyuarat berhubung projek di kawasan itu.

Notis itu menyatakan tanah di Lot 1356 kini adalah berstatus tanah kerajaan, kata Tan sebagaimana yang dimaklumkan oleh saudara-maranya.

Dia yang terkejut dengan "kehilangan" tanah secara mengejut kemudian mendapatkan bantuan daripada Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen untuk membantu membetulkan perkara itu.

Menurut Chong, pada 2020 SEB telah memperolehi keluasan tanah 0.01 ekar bagi pembinaan menara kabel elektrik.

"Geran baharu dengan nombor Lot 1356 untuk baki tanah 
berkeluasan 3.19 ekar sepatutnya diberikan pengadu."

"Memandangkan SEB sudah memperolehi 0.01 ekar tersebut, adalah tanggungjawab mereka untuk memohon geran tersebut kepada Jabatan Tanah dan Survei," kata Chong dalam hantaran di Facebook.
Ahli Parlimen Stampin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa itu menambah, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama SEB di sini semalam.

"Saya menggesa SEB membetulkan pertukaran status ini selain mempercepat pengeluaran geran bagi Lot 1356 di atas nama Tan."

"Pihak SEB sepatutnya mengeluarkan dokumen ini awal sebelum melaksanakan projek untuk menggelakan masalah kepada pemilik."

Chong berharap masalah ini tidak berulang memandangkan SEB akan melaksanakan projek yang sama dalam masa terdekat.

"DAP Sarawak akan mengikuti perkembangan isu ini dari masa ke masa," katanya.
Next Post Previous Post