Lelaki dari Kampung Bumbok korban baharu rabies di Sarawak

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Tan Kai (kiri) menyantuni keluarga mangsa

KUCHING-- Seorang lelaki pertengahan usia dari Kampung Bumbok Jalan Batu Kitang menjadi korban terbaharu wabak rabies di Sarawak. 

Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai berkata, mangsa dikenali sebagai Jackery Jero, 50, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pada jam 3.30 petang semalam. 

Mengulas lanjut kes itu, Tan Kai berkata, mangsa telah digigit anjing pada 3 April lalu menyebabkan kecederaan pada tangan kiri mangsa. 

Tambahnya, mangsa kemudian segera mendapatkan rawatan di klinik dan menerima suntikan vaksin rabies pada hari berikutnya di Hospital Umum Sarawak. 

Bagaimanapun, katanya pada 25 hingga 27 April, mangsa mengalami demam panas. 

"Pada 28 April, mangsa mengalami gejala menggigil dan tidak dapat menelan air serta demam panas. 

"30 April 2023 mangsa pergi ke Pusat Rawatan Timberland dan pada 1 Mei 2023 mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak kerana tidak lagi boleh berjalan. 

"Pada 2 Mei 2023 imbasan CT menunjumman jangkitan pada otak dan organ badan dalam keadaan baik. Ujian rabies juga menunjukkan tiada virus berkenaan," dedahnya. 


Tambah Tan Kai, pada 3, 4 dan 5 Mei 2033, jangkitan semakin teruk dan merebak ke seluruh paru-paru dan otak mangsa. 

"Mangsa masih mempunyai gejala rabies dari 8 Mei yang mana air liur keluar dari mulut mangsa. 

"Doktor memaklumkan ia adalah gejala rabies dan pada 10 Mei 2023 air liur mangsa semakin banyak keluar sebelum mangsa disahkan meninggal dunia," jelasnya. 

Setakat ini sudah tiga kematian dikaitkan dengan Rabies berlaku di kawasan berhampiran. 

Insiden pertama melibatkan budak lelaki berusia 8 tahun dari kampung Tematu, diikuti seorang lelaki dari Taman Boulder Built dan terkini Jackery dari Kampung Bumbok.


Next Post Previous Post