Samun peniaga dalam talian, dua lelaki ditahan

ISKANDAR PUTERI: Polis menahan dua lelaki tempatan selepas disyaki terbabit dalam kes samun di Puteri Harbour di sini, Isnin lalu, yang mana video kejadiannya tular sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata pihaknya mengesan video tular mengenai samun itu semalam, bagaimanapun tangkapan sudah dibuat Isnin lalu.

"Bertindak atas maklumat dan risikan, suspek pertama ditahan pada jam 10.15 pagi di Horizon Hill manakala suspek kedua ditahan jam 9 malam, hari yang sama di Gelang Patah.

"Hasil siasatan, suspek mengaku terbabit dalam kes yang berlaku pada jam 9.45 pagi itu dengan cara melanggar kereta mangsa dan mencederakan mangsa menggunakan parang," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Rahmat berkata, pihaknya berjaya merampas semula RM10,000 yang disamun daripada mangsa yang berniaga secara dalam talian itu.

"Kita juga merampas senjata dan kenderaan yang dipercayai digunakan ketika kejadian," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera di kepala akibat ditetak dan dirawat di hospital swasta di sini, dilaporkan stabil dan sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang berusia 40 dan 45 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau itu kini ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengesan rakan sejenayah yang dipercayai terdapat tiga lagi yang masih bebas.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Kredit Berita Harian
Next Post Previous Post