Ruslan Abdul Ghani CEO Bintulu Port Holdings Berhad baharu

BINTULU-- Ruslan Abdul Ghani kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) yang baharu kini berkuat kuasa pada 1 Mac 2023 lalu.

Bahagian Komunikasi Korporat Perkhidmatan Korporat Kumpulan BHPB dalam kenyataan pada Ahad mengumumkan pelantikan itu memberitahu, Ruslan dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Dato Mohammad Medan Abdullah yang tamat kontrak perkhidmatannya pada 28 Februari 2023 sejak pelantikannya pada 1 Mac 2017.

"Justeru, kami ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pemegang saham dan pemegang berkepentingan atas kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada Dato Mohammad Medan Abdullah semasa beliau berkhidmat dengan Bintulu Port Holdings Berhad.

"Kami berharap kerjasama yang berterusan dan sokongan juga akan dihulurkan kepada Ruslan Abdul Ghani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu BPHB," katanya.

Ruslan mempunyai lebih 32 tahun pengalaman dalam industri minyak dan gas serta telah menghabiskan kebanyakan tahun dalam perniagaan huluan syarikat minyak dan gas negara Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).

Selain itu, beliau pernah ditugaskan di empat negara berbeza iaitu Sudan, Dubai, Iraq dan Turkmenistan (dalam bidang industri berkaitan). 

Ruslan memulakan kerjayanya pada tahun 1990 di Petronas Carigali Sdn Bhd (Operasi Sarawak) yang berpangkalan di Miri. 

Selepas memegang pelbagai jawatan dalam kumpulan, jawatan terakhirnya ialah sebagai Pengurus Besar Kanan Petronas Carigali (Operasi Sarawak) sebelum bersara pada Jun 2022," tambah kenyataan tersebut.
Next Post Previous Post