Lo dan Ahmad berhenti, Tan Kai dan Abang Ismawi ganti.

KUCHING — Desas desus penamatan khidmat Lo Khere Chiang sebagai pengerusi Majlis Perbandaran Padawan akhirnya terjawab hari ini. 

Khabar angin tentang penamatan khidmat beliau berikutan polisi kerajaan yang menghadkan tempoh masa berbakti terhad kepada sembilan tahun sudah lama bertiup.

Namun, ia dipercayai tidak dihebahkan sehingga pemilihan parti SUPP Sarawak United Peoples' Party 砂拉越人民联合党 selesai untuk mengelakkan komplikasi politik kerana semasa perhimpunan itu ada individu menyambung khidmatnya melimpasi had masa SEMBILAN TAHUN.

Malah, ura-ura pemberhentian Lo sangat kuat selepas dia dipilih menjadi calon Gabungan Parti Sarawak di Stampin membuatkan ada golongan tertentu tidak berpuas hati, sehingga timbul video "Empurau King" membuatkan Lo tumbang di tangan Chong Chieng Jen 张健仁

 “MPP telah memberikan saya peluang untuk mendampingi rakyat pelbagai lapisan yang kini menjadi pengalaman yang tidak ternilai,” kata Lo Khere Chiang yang menamatkan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, hari ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang itu berkata, ia adalah satu penghormatan untuk berkhidmat dalam organisasi yang berprestij dan disegani seperti MPP. 

“Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan pemimpnin sebelumnya kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk menggalas jawatan itu selama 12 tahun.”

“Terima kasih juga kepada Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Perdana Menteri Sarawak, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Tempatan Kerajaan atas kepercayaan dan keyakinannya kepada saya juga,” katanya dalam ucapan perpisahan semasa Mesyuarat Penuh MPP hari ini. 

Katanya, dalam tempoh tersebut Lo berpeluang mendengar suara rakyat, baik melalui surat, emel, pesanan Whatsapp, panggilan telefon selain mesyuarat yang diadakan di MPP, kejiranan atau persatuan. 

“Saya juga berpeluang mendekati masyarakat, bertegur sapa dengan mereka di pasar atau gereja, tepi jalan dan banyak lagi.” 

“Ini perkara yang indah berlaku dalam hidup saya,ia memberikan inspirasi kepada saya untuk bekerja dengan lebih keras, melakukan yang terbaik dan tak berputus asa.”

“Walaupun saya tidak lagi bertugas sebagai pengerusi anda, namun saya tetap warga Padawan dan akan memberikan sokongan yang diperlukan. Pengalaman ini memupuk semangat untuk terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan Batu Kitang,” katanya.

Lo yang dilantik menggalas jawatan itu pada Jun 2010 berterima kasih kepada kakitangan MPP yang bekerja keras sehingga majlis itu menempa pelbagai kejayaan. 

Katanya, pencapaian terbaharu MPP diiktiraf antara majlis perbandaran yang paling cemerlang di Sarawak oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia dengan rating lima bintang. 

“MPP memperolehi 95.69 daripada 100 markah manakala Majlis Bandaraya Miri (MBM) mencapai 94.58 markah.” 

“Saya juga berbangga mengumumkan kejayaan MPP memperolehi Anugerah Emas untuk kategori Pihak Berkuasa Tempatan dalam Anugerah Alam Sekitar Premier sarawak 2022. Kejayaan dan pencapaian ini adalah hasil kerja keras kita semua,” kata Lo. 

Dalam pada itu beliau berharap MPP meneruskan usaha untuk memastikan keselamatan dan kebersihan di kawasan di bawah bidang kuasanya pada masa hadapan. 

“MPP mengambil berat keselamatan penduduk dan kebersihan persekitaran untuk kesejahteraan bersama. Saya berharap komuniti Padawan terus bekerjasama dengan MPP dalam menjaga kebersihan terutama di kawasan kejiranan dan taman, demi kesejahteraan bersama.” 

Lo berharap Padawan akan terus membangun dan makmur di bawah pengerusi MPP yang baharu.

Diminta mengulas, Lo mengesahkan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Tan Kai bakal menjadi Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) yang baharu manakala jawatan Timbalan Pengerusi yang disandang Datuk Ahmad Ibrahim akan digantikan oleh Abang Ismawi Abang Ali.

Tan Kai juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Abang Ismawi dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Batu Kitang.

“Mereka akan mengangkat sumpah pada 1 April nanti, bersama-sama seramai 20 Ahli Majlis baharu dan 12 Ahli Majlis yang dikekalkan,” kata Lo.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.