Kenanga Research : Harga minyak sawit mentah dijangka naik kepada RM3,800 bagi 2024
PETALING JAYA – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka lebih tinggi berikutan pemulihan bekalan minyak makan global yang lebih perlahan berbanding jangkaan.
Memetik laporan Kosmo, Kenanga Research dalam nota kajian yang diterbitkan semalam dilihat telah menyemak naik unjuran harga purata MSM untuk tahun 2024 kepada RM3,800 setan berbanding RM3,500 sebelum ini.
"Antara faktor positif bagi sektor kelapa sawit ialah minyak sawit merupakan makanan keperluan bagi ekonomi sedang meningkat naik seperti China, India dan Indonesia; sifatnya yang mampu milik dan fleksibel; serta permintaan untuk bahan api bio (biofuel)," katanya.
Bagaimanapun, unjuran harga purata MSM untuk tahun ini dikekalkan pada RM3,800 setan.
Jelas Kenanga Research lagi, Brazil dijangka mencatatkan rekod baharu dalam penuaian kacang soya manakala keadaan di Argentina adalah sebaliknya.
"Walaupun Brazil merupakan pengeluar tertinggi kacang soya, Argentina sebenarnya adalah lebih penting untuk perdagangan antarabangsa dan sering menduduki tempat ke-3 atau ke-4 dalam senarai pengeksport minyak makan terbesar di dunia selepas Indonesia, Malaysia dan kadangkala Rusia.
“Pasaran bekalan minyak makan bernasib baik kerana bekalan minyak sawit sepatutnya akan bertambah baik. Pada masa sama, permintaan juga dijangka pulih dan mungkin pada kadar yang lebih pantas,” kata Kenanga Research.
Dengan pemulihan permintaan yang teguh, katanya, firma itu mengekalkan prospek permintaan-bekalan untuk minyak makan yang rapuh tahun ini, dengan kemungkinan harga MSM yang kukuh.
Tegasnya, kebimbangan pihaknya ketika ini adalah imbangan yang ketat tersebut yang mungkin bakal berlanjutan ke tahun 2024, dengan kemungkinan lebihan bekalan kacang soya dari Amerika Selatan adalah lebih kecil daripada jangkaan.
“Pengeluaran minyak sawit yang diunjurkan lebih tinggi tahun ini, pada pertumbuhan tiga hingga lima peratus tahun ke tahun sepatutnya akan membantu bekalan minyak makan, walaupun pada skala terhad,” tambahnya.
Gambar Hiasan