Jalan sempit bukan penyebab utama kemalangan, Penguang

MIRI— Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Penguang Manggil berkata, keadaan jalan Marudi yang sempit bukan penyebab utama kemalangan, kerana nahas tetap berlaku di mana-mana sahaja.

“Kita juga katakan jalan ini sempit lah... jalan ini tidak bagus dan sebagainya. Kemalangan juga berlaku di mana-mana tempat.., di lebuh raya dan juga di jalan yang bertaraf R3 atau R5. 

“Apatah lagi di jalan seperti Jalan Marudi sekarang yang bertaraf R1. Sesiapa sahaja boleh memberikan pandangan mengenai jalan ini, namun kita harus ingat kemalangan jalan raya boleh berlaku di mana sahaja,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.

Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi mengulas isu peningkatan kes kemalangan di jalan Marudi sejak kebelakangan ini yang didakwa berpunca daripada keadaan jalan yang terlalu sempit.

Menurut penduduk, jalan Marudi bukan hanya sempit namun mempunyai banyak selekoh yang tajam selain kawasan bergaung yang berbahaya kepada kenderaan.

“Saya mengaku bahawa jalan Marudi sekarang ini amat sempit, turun bukit naik bukit dan 'winding' semacam ular kerana ia dahulu adalah jalan balak,” katanya lagi.

Penguang berkata, kebanyakan kes kemalangan berlaku kerana kecuaian pemandu itu sendiri.

“Saya kerap menggunakan jalan ini dan mendapati ramai pengguna memandu terlalu laju dan memotong laluan termasuk di selekoh yang berbahaya.

“Justeru saya merayu kepada semua pemandu agar memandu dengan berhemah, patuhi had laju dan jangan memotong di kawasan selekoh,” katanya lagi.

Mengenai peningkatan kes kemalangan di jalan ini, Penguang meminta Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) mempercepat pembinaan jalan baharu menghubungkan Miri - pekan Marudi sebagai laluan alternatif tanpa melalui Jalan Marudi sekarang.

Katanya, projek yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 itu bermula dari Eastwood Valley Golf and Country Club, merentasi ladang kelapa sawit dengan menyeberangi Sungai Bakong sebelum laluan itu terus bersambung ke Jambatan Marudi.

“Jalan raya ini dibina mengikut standard R5 dan akan memendekkan perjalanan ke Marudi dengan hanya 20 kilometer berbanding laluan sedia ada sekarang, sejauh 70 kilometer atau sejam perjalanan.”

“Justeru, saya menggesa RECODA mempercepat pembinaan jalan raya ini demi penduduk dari Marudi dan Mulu,” kata Penguang.

Katanya, jalan tersebut akan diteruskan sehingga ke Long Panai, Long Terawan, Kuala Melinau dan dari Long Panai ke Long Lama.

Katanya, kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menyelenggara dan membaiki kerosakan Jalan Miri - Marudi yang sedia ada.

Kapsyen
Kemalangan terbaharu membabitkan sebuah kenderaan yang terbabas lalu terjunam dalam gaung berhampiran Simpang 14, Jalan Miri - Marudi, tengah hari tadi manakala Penguang (gambar sisipan).
Next Post Previous Post