Guna identiti anak yang telah meninggal daftar pendatang asing, petani didenda RM4,000

Gambar kredit Daily Express

KOTA KINABALU-- Padah beri butiran palsu dengan menggunakan sijil kelahiran anak perempuannya yang sudah meninggal dunia, untuk memohon MyKad bagi seorang pendatang tanpa izin (PTI), seorang petani didenda RM4,000 atau penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Memetik laporan Daily Express, tertuduh, Justin Popolong berusia 40 tahun dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Berdasarkan fakta kes, Justin telah memberikan butiran palsu itu semasa menjadi penjamin dalam permohonan MyKad pertama dengan nombor siri 100921-12-2044 di bawah nama Farhana Justin pada jam 8.54 pagi 28 Februari tahun ini di Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Lawrence Lim semasa rayuan memohon hukuman ringan dengan mengatakan ia adalah kesalahan pertama Justin dan dia orang kurang upaya (OKU).

Pada masa yang sama Lim memberitahu mahkamah bahawa Justin merupakan pencari nafkah keluarganya dan mempunyai empat anak untuk dijaga.

Menurutnya lagi, Justin tidak mendapat sebarang imbuhan daripada tindakannya itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap Justin atas sebab ia merupakan kesalahan serius kerana Justin cuba memohon MyKad untuk seorang individu yang bukan anak kandungnya dan juga pendatang tanpa izin.

Dia berhujah bahawa Justin telah menggunakan sijil kelahiran milik anak perempuannya yang sudah meninggal dunia tetapi tidak didaftarkan.

Tambah Nurul, sekiranya permohonan dokumen itu berjaya dikeluarkan kepada individu itu, dia (orang itu) akan menikmati hak dan keistimewaan sebagai warganegara Malaysia.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa perbuatan Justin telah memberi kesan negatif dan menjejaskan pentadbiran, ekonomi, keselamatan serta kedaulatan negara. 

Mahkamah mendengar bahawa Justin telah cuba memohon MyKad untuk orang itu dan memperkenalkan dirinya sebagai bapa orang tersebut.

Bagaimanapun, pegawai JPN mengesyaki individu itu bukan anak kandung Justin kerana wajah mereka tidak serupa dan bentuk badannya tidak sepadan dengan umur 13 tahun.

Selain itu, orang yang memohon kad pengenalan dalam nama Farhana Justin itu telah mengakui bahawa nama sebenarnya adalah Puteri dan bukan anak kandung Justin.

Malah, ibu bapa angkat Puteri juga telah mengesahkan bahawa Puteri bukan anak kandung Justin.

Farhana Justin sebenar telah meninggal dunia. 

Bagaimanapun, kematian Farhana Justin masih belum didaftarkan.

Justin ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sabah.
Next Post Previous Post