Warga emas temui ajal ketika ziarah kubur mendiang emaknya

 

Gambar hiasan


BAU-- Seorang lelaki Cina warga emas dijumpai tidak bernyawa terbaring di kawasan kubur Jalan Buso di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, mayat warga emas berusia 62 tahun itu dijumpai sekitar jam 1.05 pagi tadi.

"Pihak polis telah sampai di tempat kejadian di kawasan jalan kecil kawasan perkuburan, mendapati mayat mangsa dalam keadaan terbaring. 

"Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa di tempat kejadian mendapati keadaan mangsa dijumpai dalam keadaan fizikal yang sempurna," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Jelas Poge lagi, keadaan wajah mangsa lebam dan ada pendarahan keluar dari hidung dan gigi mangsa patah.

"Temubual awal terhadap isteri mangsa memberitahu, pada 13 Januari lalu jam lebih kurang 8.00 pagi mangsa memberitahu isterinya hendak pergi membersih kubur mendiang emaknya di Kampung Buso, Bau.

"Setelah malam mangsa belum balik, isteri mangsa membawa anaknya untuk mencari mangsa di kawasan perkuburan buso bau terjumpa mangsa dalam keadaan tertiarap tidak bernyawa," katanya. 

Tambahnya, berikutan itu, isteri mangsa datang ke Balai Polis Bau buat laporan untuk tindakan selanjutnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, siasatan di tempat kejadian merupakan jalan tanah berbatu kecil dan agak curam. 

"Terdapat kesan tergelincir dan mangsa cedera di lutut dan jatuh tersembam di muka dan cedera di muka serta patah gigi. 

"Mayat mangsa telah dihantar ke bilik mayat Hospital Bau dan bedah siasat," ujarnya.

Katanya lagi, kes dibuka sebagai laporan kematian mengejut.



Next Post Previous Post