Sarawak mahu terajui tenaga hidrogen akhir dekad ini Abang Jo

KUCHING-- Sarawak mahu menjadi peneraju dalam ekonomi hidrogen menjelang akhir dekad ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Beliau berkata Sarawak mahu memanfaatkan sumber aslinya yang banyak termasuk air untuk membangunkan hidrogen sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.
 
“Kita bekerjasama dengan Jepun dan Korea Selatan untuk menghasilkan hidrogen. 

"Ekonomi dunia bergerak ke arah ini. Sarawak mempunyai sumber dan kita mahu menjadi pemain utama menjelang 2030," katanya pada acara penerimaan kenderaan elektrik oleh SEDC Energy Sdn Bhd dan Pekema Sarawak (Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia ) di sini pada Selasa (31 Jan). 

Abang Johari berkata adalah penting bagi Sarawak menerokai pasaran baharu bagi mengubah ekonominya dengan penekanan kepada kelestarian. 

Beliau berkata Sarawak mahu melakukan bahagiannya untuk membantu mengurangkan perubahan iklim dan mengurangkan pelepasan karbon. 

“Kita perlu menyesuaikan diri dengan keperluan global dan mencari tenaga alternatif untuk mengurangkan karbon dioksida, contohnya dalam sektor pengangkutan.
 
"Penyelesaiannya ialah tenaga boleh diperbaharui. Sarawak mempunyai kelebihan menghasilkan tenaga hidro dan kita juga berpotensi menghasilkan hidrogen hijau," tambahnya.
Next Post Previous Post