Polis Kelantan terima 10,490 laporan kerosakan akibat banjir.

Gambar ihsan MSTAR


TUMPAT -- Polis Kelantan menerima sejumlah 10,490 laporan berhubung kerugian dialami oleh mangsa banjir di negeri itu, baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata laporan paling banyak diterima daripada mangsa di jajahan Pasir Puteh iaitu 2,879 diikuti Bachok (2,132) dan Pasir Mas (1,812).

Beliau berkata antara laporan yang dibuat adalah melibatkan kerosakan rumah, kenderaan, ternakan dan lain-lain harta benda.

"Banyak laporan diterima adalah kerosakan harta benda iaitu 5,114 diikuti kerosakan rumah (4,215) kenderaan (619) dan ternakan (542).

"Laporan polis ini amat berguna bagi kegunaan urusan pampasan oleh mangsa di masa hadapan dan menjadi rekod kepada pihak berkenaan untuk menyalurkan apa jua bantuan," katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Wakaf Bharu, di sini. hari ini lapor Bernama.

Terdahulu, Muhamad Zaki menyampaikan sijil penghargaan dan Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik 2021 kepada Ketua Balai Polis Wakaf Bharu, Sarjan Mejar Sakri Abd Ghani selepas balai terbabit memenangi tempat ketiga daripada 799 balai polis di seluruh negara.

Sementara itu mengulas mengenai penemuan mayat reput di pangkalan haram berdekatan Bukit Bunga, Tanah Merah, semalam, katanya identiti mangsa belum dapat dikenal pasti.

Beliau berkata mayat reput itu ditemukan oleh pemancing kira-kira jam 3 petang dan tersangkut pada batang pokok di sebelah sempadan di negara ini.

"Hasil bedah siasat mendapati ada empat kesan tembakan di kepala mangsa dan dipercayai ditembak daripada jarak dekat.

"Polis Kelantan akan cuba menghubungi pihak berkuasa negara jiran bagi mengetahui sekiranya adanya apa-apa insiden yang berlaku di sana yang boleh dikaitkan dengan penemuan mayat ini," katanya.

Next Post Previous Post