MOTAC akan tempatkan pegawai mahir berbahasa Mandarin di semua lapangan terbang antarabangsa seluruh negara bagi kelancaran kemasukan pelancong dari China

Gambar Dato' Seri Tiong King Sing


BINTULU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menghantar pegawai-pegawainya yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Mandarin bagi ditempatkan di semua lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara bagi membantu kelancaran di pintu sempadan terutamanya melibatkan pengembara dari China.

Menurut Menterinya, Dato' Seri Tiong King Sing, ianya bagi memudahkan urusan kemasukan pengembara dari Tanah Besar itu untuk memasuki Malaysia terutamanya yang lemah berbahasa Inggeris serta tidak memahami Bahasa Malaysia.

"MOTAC akan menyelaraskan usaha ini bersama pihak pengurusan lapangan terbang antarabangsa seluruh negara dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta memastikan ketersediaan di pintu sempadan negara, seterusnya melancarkan proses kemasukan pengembara khususnya dari China," ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tiong, China telah menutup sempadannya selama lebih tiga tahun yang mana sejumlah besar pengembara dari China dijangka akan memasuki negara kita untuk melancong. 

Justeru itu jelasnya, bagi menerima dan mengalu-alukan kedatangan pelancong China dengan lebih baik, MOTAC mencadangkan untuk menyediakan laluan mudah di lapangan terbang antarabangsa. 

"Ini bukan sahaja untuk kelancaran, tetapi juga dapat menyingkatkan proses ketibaan selain mempercepatkan proses pemeriksaan kastam tanpa menjejaskan pengembara dari negara-negara lain yang mana langkah sedemikian ini juga dapat menonjolkan sifat mesra Malaysia dalam mengalu-alukan kedatangan pengembara dari China. 

Dalam masa sama katanya, ia tetap mengambil kira tahap kesihatan dan keselamatan pengembara dari China serta menghapuskan kebimbangan pelancong asing berhubung langkah Malaysia dalam mengetatkan SOP di pintu masuk negara.

"Saya merakamkan penghargaan kepada Jabatan Imigresen Malaysia kerana bersetuju membuka laluan mudah sekaligus mempercepatkan proses kemasukan pengembara yang memasuki negara kita tanpa sebarang masalah," ujarnya lagi.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.