Lelaki dikhuatiri lemas semasa memancing di kawasan muara sungai belakang pusat beli-belah The Spring Bintulu


Muara sungai di the springs bintulu
Gambar BBP Bintulu

BINTULU: Seorang lelaki berusia 29 tahun dikhuatiri lemas semasa memancing di muara sungai belakang pusat membeli-belah The Spring Bintulu pada jam 3 petang semalam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad dalam kenyataannya hari ini mengesahkan, semasa kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Willa Fredo Sabai, 29, dikatakan sedang memancing di kawasan terbabit sebelum dilaporkan hilang di kawasan berkenaan.
Adalah difahamkan bahawa mangsa dikatakan keluar memancing pada jam 3 petang semalam, namun tidak balik ke rumah meskipun hari sudah beransur gelap.
Keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan berhubung kehilangan mangsa bagi membantu dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa.
"Sepasukan anggota bomba dari BBP Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden berlaku pada jam 11.16 pagi tadi bagi membantu usaha mencari dan menyelamat mangsa," ujar beliau.

Bomba bintulu
Gambar BBP Bintulu
Ahli keluarga yang turut berada di lokasi kejadian ujarnya turut menemui sepasang selipar dan pakaian milik mangsa pada bahagian laluan pejalan kaki Bintulu Waterfront.
Usaha SAR pada hari pertama ini menurut Wan yang turut disertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PADRM), Agensi Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) akan melakukan pencarian secara permukaan.
"Sebarang perkembangan terbaru berhubung usaha pencarian akan dimaklumkan dari masa ke semasa," tambah beliau.
Next Post Previous Post