KWSP Outreach Sarawak bermula Mac

SIBU, 9 Jan (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membekalkan tiga trak kepada tiga cawangan agensi itu di Sarawak bagi pelaksanaan program outreach di kawasan luar bandar.

Pengerusinya Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata ini bagi membolehkan pasukan KWSP Sarawak memberikan perkhidmatan bergerak yang lebih meluas kepada masyarakat luar bandar dan kawasan berpenduduk tinggi.

“Pasukan Sarawak akan menerima dua lagi kenderaan pacuan empat roda, tiga set jana kuasa, dua peralatan VSAT (teknologi satelit ‘Very Small Aperture Terminal’) serta peralatan IT (teknologi maklumat) dan bukan IT,” katanya semasa merasmikan pejabat KWSP Cawangan Sibu di Jalan Kampung Datu 5 di sini hari ini.

Beliau berkata kelengkapan tersebut dapat membantu pasukan terlibat memberikan perkhidmatan kepada ahli dan bakal pencarum KWSP.

Sementara itu, Ketua Wilayah KWSP Sarawak Halim Boweng ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan berkata program outreach itu dijangka dilancarkan pada Mac depan di Bintulu.

“Pasukan outreach kita iaitu Kuching akan memberikan liputan perkhidmatan di kawasan Lubuk Antu dan Sri Aman, pasukan di Sibu untuk kawasan Mukah dan Kapit manakala Miri untuk kawasan Bintulu dan Belaga,” katanya.

Pendekatan ke hadapan itu katanya akan dilaksanakan secara berjadual bagi mendekati sektor tidak rasmi atau bekerja sendiri seperti petani, nelayan mahupun pemandu e-hailing bagi membolehkan mereka menyimpan untuk hari tua.

Menurut Halim, program itu turut menyasar untuk menarik kembali ahli-ahli yang tidak aktif untuk menjadi pencarum semula.

“Penjawat awam di awal perkhidmatan mereka mencarum di KWSP sebelum memilih skim pencen selepas lima tahun dan menjadi ahli tidak aktif. Kita mahu menarik mereka untuk menjadi pencarum semula melalui caruman sukarela agar mereka mempunyai simpanan untuk persaraan mereka kelak,” kata beliau.

Beliau berkata Sarawak pada masa ini mempunyai ahli seramai 950,000 dengan 556,000 adalah pencarum aktif dan KWSP menyasar untuk meningkatkan lagi jumlah pencarum aktif kepada 600,000 melalui program outreach itu.

-- BERNAMA

 


Next Post Previous Post