KPM rangka pelan pemulihan pelajar keciciran - Fadhlina.

pendidikan pelajar yang tercicir, pendidikan Nibong Tebal.
Gambar ihsan Facebook KPM


NIBONG TEBAL  -- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang merangka satu pelan pemulihan untuk membimbing pelajar sekolah yang tercicir dalam sistem pendidikan nasional, kata menterinya Fadhlina Sidek.

Menurut beliau setakat ini KPM belum mempunyai data lengkap mengenai jumlah pelajar terlibat dan sedang mengumpul data serta maklumat daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk memproses input kajian yang dijalankan berrhubung isu berkenaan.

“Memang dalam perhatian kita untuk dapatkan maklum balas daripada semua pihak termasuk NGO, kalau mereka ada maklumat termasuk dakwaan yang 100,000 pelajar keciciran itu, saya minta mereka datang kepada KPM bawa bersama data tersebut untuk buat intervensi bersama-sama," katanya kepada pemberita di sini hari ini lapor Bernama. 

Terdahulu beliau mengadakan tinjauan di gelanggang bola keranjang Bukit Panchor, di sini iaitu lokasi Pasar Percuma 2023 Parlimen Nibong Tebal.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian sebagai mengulas saranan sebuah NGO agar KPM merangka satu pelan pemulihan untuk membimbing pelajar sekolah yang tercicir dalam sistem pendidikan nasional.

Ketua Pegawai Eksekutif Untuk Malaysia Zul Fikri Zamir dilaporkan berkata kajian di lapangan mendapati hampir 100,000 pelajar dianggap tercicir daripada sistem pendidikan dan ia realiti yang amat membimbangkan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata pihaknya sentiasa memandang serius isu keciciran pelajar itu malah KPM sejak dari awal lagi, menerusi tujuh teras yang dibentangkan sebelum ini, antara lain ialah menangani isu keciciran pelajar.

"Saya harap NGO itu (Untuk Malaysia) dapat datang ke KPM untuk bersama-sama berbincang kerana kita juga nak lihat program-program (berkaitan isu keciciran pelajar) yang telah dijalankan  sama ada efektif atau tidak," katanya.

LihatTutupKomentar