Warga emas di Sibu korban baharu rabies di Sarawak


KUCHING-- Seorang lelaki warga emas di Sibu menjadi korban baharu wabas rabies di Sarawak, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Ooi Chok Huck. 


Jelasnya, lelaki berusia 60 tahun itu dilaporkan telah meninggal dunia pada 5 Disember 2022, jam 11.41 pagi di Hospital Sibu. 


"Beliau telah disahkan rabies melalui ujian makmal dan didiagnosa sebagai rabies encephalitis. 


"Oleh itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang," katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini. 


Kata Dr Ooi, mangsa dilaporkan telah mengalami gejala jangkitan rabies bermula pada 26 November 2022. 


Tambahnya, mangsa telah pergi mendapatkan rawatan di klinik kesihatan pada 1 Disember 2022 apabila gejala bertambah teruk termasuk kesukaran menelan makanan dan minuman. 


"Beliau kemudian dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut. Mangsa tidak mempunyai sejarah digigit atau dicakar oleh anjing. 


"Walau bagaimanapun, beliau didapati pernah mengendalikan bangkai anjing pada Oktober 2022. Namun, status rabies bagi haiwan-haiwan tersebut tidak dapat dipastikan," jelasnya. 


Menurutnya lagi, mengenai status terkini berkaitan kes rabies di Sarawak, bagi 2022, sehingga 6 Disember, Sarawak telah melaporkan 14 kes rabies di kalangan manusia, termasuk 11 kes kematian.


"Rabies merupakan penyakit sistem saraf yang disebabkan oleh jangkitan virus rabies. 


"Virus ini terdapat dalam air liur haiwan yang dijangkiti dan boleh menjangkiti manusia melalui gigitan atau semasa kontak langsung dengan air liur haiwan yang dijangkiti, sama ada melalui luka atau lapisan mukosa tubuh," ujarnya. 


Memandangkan rabies adalah endemik di semua Bahagian di Sarawak dan melalui aktiviti survelan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak yang turut mendapati banyak anjing yang positif rabies, maka, JKN Sarawak ingin menasihati orang ramai agar segera melaporkan kepada pihak DVS Sarawak sekiranya terdapat haiwan peliharaan mereka yang berubah tingkah laku sama ada menjadi ganas atau muram.


Selain itu, katanya, jangan sesekali cuba menangkap atau menyentuh atau membunuh haiwan tersebut, tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuk anjing dan kucing liar, sama ada yang hidup mahupun yang telah mati.


"Laporkan terus kepada pihak DVS Sarawak untuk siasatan lanjut dan memastikan haiwan peliharaan terutamanya anjing dibawa untuk suntikan anti- rabies setiap tahun agar dilindungi dari jangkitan virus rabies. 


"Suntikan vaksin rabies pada anjing akan mengelakkan manusia daripada dijangkiti rabies," tegasnya. 

Next Post Previous Post