Tiong King Sing dari dunia korporat ke dunia politik

Tiong dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Tiong King Sing dari dunia korporat ke dunia politik

KUCHING—Sebelum 1999, Datuk Seri Tiong King Sing lebih dikenali sebagai seorang tokoh korporat sehinggalah beliau diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Parlimen Bintulu pada tahun berkenaan, yang menjadi permulaan langkahnya untuk mengubah haluan menjadi ahli politik.


Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Tiong dilantik sebagai Menteri Pelancongan, salah seorang daripada 28 Menteri Kabinet yang mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini.


Bermula sebagai Bendahari Agung Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) di bawah kepimpinan presiden SNAP ketika itu, mendiang Datuk Amar James Wong Kim Min, Tiong, 61, kini dikenali sebagai seorang ahli politik yang bersuara lantang dan telah beberapa kali terjebak dalam pelbagai kontroversi.


Dalam cubaan pertamanya untuk menjadi Ahli Parlimen, beliau telah memenangi kerusi Parlimen Bintulu dalam Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) dengan menewaskan penyandang kerusi ketika itu, Chiew Chin Sing (DAP) dengan majoriti 1,400 undi.


Pada tahun yang sama juga beliau telah disingkirkan dari SNAP bersama beberapa orang pemimpin lain dalam parti berkenaan, dikatakan kerana melanggar disiplin, lapor Bernama.


Di sebalik kontroversi dipecat dari SNAP, popularitinya semakin meningkat apabila dalam PRU11 pada 2004, Tiong mewakili BN menerusi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), berjaya mempertahankan kerusi Bintulu dengan mendapat majoriti lima angka, menjangkau 10,658 undi dalam pertembungan semula dengan Chiew.


Tiong terus mengukuhkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Bintulu dengan memenangi empat lagi pilihan raya seterusnya dan pada PRU15 lepas, beliau memperolehi 43,455 undi menewaskan dua calon lain dengan majoriti 22,168 undi.


Beliau yang menjadi Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) sejak 2016 juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak bagi kerusi Dudong yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 pada Disember lepas.

LihatTutupKomentar