Tanah runtuh: Mayat budak perempuan ditemukan bersama 4 beg, pakai baju merah jambu

tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, tanah runtuh di Batang Kali, operasi mencari mangsa tanah runtuh

BATANG KALI-- Mayat kanak-kanak perempuan yang juga mayat ke-25 yang ditemukan dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, dijumpai bersama empat buah beg mengandungi pakaian dan komputer riba. 


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah bagaimanapun berkata tiada identiti pengenalan diri dijumpai dalam beg atau berhampiran mayat yang ditemukan pada 11.15 malam, Selasa.  



Beliau yang juga Komander Operasi Bencana berkata mangsa berumur antara 6 hingga 10 tahun dan memakai baju tidur berwarna merah jambu. 


“Mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat, identiti masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam sidang media bersama Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Hafisham Mohd Noor di sini hari ini, lapor Bernama.


Sehingga kini 61 selamat, 25 terkorban dan lapan masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa insiden itu yang berlaku pada 2.42 pagi, Jumaat.


Suffian berkata, mayat itu ditemukan di sektor C (Riverside) ketika menggunakan korekan jentera, bukannya daripada anjing unit pengesan (K9). 


Beliau berkata Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) memaklumkan keadaan tanah di lokasi pencarian adalah stabil, sekali gus memungkinkan perkembangan positif operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 100 anggota hari ini.


Anggota penyelamat terdiri daripada lima agensi utama yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dibantu empat anjing unit pengesan (K9) dan menggunakan 11 jentera berat. 


Beliau berkata penemuan semalam menaikkan semangat pegawai dan anggota penyelamat dalam operasi yang memasuki hari keenam hari ini. 


“Ya sudah tentu pasukan penyelamat kita pun penat, kalau ada penemuan positif hari ini mereka mungkin lebih bersemangat,” katanya.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.