Setengah juta rakyat Australia dijangkiti Covid-19 - pakar

Pakar penyakit berjangkit menjangkakan sehingga 500,000 rakyat Australia kini dijangkiti COVID-19. Gambar hiasan

CANBERRA— Pakar penyakit berjangkit menjangkakan sehingga 500,000 rakyat Australia kini dijangkiti COVID-19.


Doktor penyakit berjangkit dan ahli mikrobiologi dari Australian National University (ANU) dan Hospital Canberra, Peter Collignon pada Rabu mendedahkan bahawa sekitar dua peratus daripada penduduk negara itu berkemungkinan dijangkiti COVID-19.


Jabatan Kesihatan memaklumkan terdapat lebih 14,000 jangkitan dilaporkan setiap hari dalam tempoh seminggu hingga 29 Nov tetapi Collignon berpendapat jumlahnya berkemungkinan jauh lebih tinggi, lapor Bernama.


"Saya fikir satu atau dua peratus penduduk mungkin telah dijangkiti COVID pada masa ini, tetapi sebahagian besarnya telah dijangkiti semula.


“Kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kebergantungan kepada alat bantuan pernafasan tidak sama seperti awal tahun ini," katanya kepada News Corp Australia.


Pada pertengahan Oktober, purata kes mingguan di Australia sekitar 170.3 kes bagi setiap satu juta orang.


Menjelang akhir November angka itu meningkat kepada 554.1 kes bagi setiap satu juta orang.


Menurut Jabatan Kesihatan, gelombang jangkitan keempat Australia merebak pada kadar lebih rendah berbanding jangkaan.


Persatuan Perubatan Australia (AMA) memaklumkan meskipun kadar kemasukan ke ICU adalah rendah namun hospital menghadapi masalah kesesakan.


"Kami kini berdepan situasi semua kakitangan hospital mula dijangkiti COVID. Keadaan itu menyebabkan kekurangan petugas dan dijangka bertambah sukar dalam tempoh beberapa minggu akan datang," kata Presiden AMA Steve Robson.

Next Post Previous Post