Sarawak negeri terluas di Malaysia namun kadar kelahiran terendah


KUCHING-- Meskipun tanah Sarawak luas, namun kadar kelahiran di negeri ini antara terendah di Malaysia, kata Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian.


Beliau memberitahu, pada tahun lalu hanya 20,000 bayi dilahirkan.


Sarawak mencatatkan kadar kelahiran terendah dalam negara dengan hanya 20,000 bayi yang dilahirkan pada tahun lalu.


"Walaupun Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia, namun jumlah penduduk di Sarawak hanya 2.5 juta berbanding dengan Semenanjung Malaysia dengan populasi seramai 30 juta orang.


"Malah, kita (Sarawak) mempunyai kadar kelahiran terendah bagi seluruh negara," katanya dipetik menerusi laporan TVS semalam.


Jelas Dr Sim, semasa pandemik COVID-19 tahun lepas, hanya 20,000 kelahiran dicatatkan dan sehingga kini hanya 40,000 kelahiran dicatatkan.


Tambah beliau, kerajaan Sarawak telah mengenal pasti perkara ini kerana setiap tahun kerajaan Sarawak akan menyalurkan bantuan kewangan kepada anak-anak ini menerusi Endowment Fund Sarawak (EFS), dana insentif bantuan bayi baru lahir Sarawak RM1,000. 


Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Academy for Silent Mentor (AFSM) Tripartite 2022 di sini, semalam.


Pada masa yang sama Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, migrasi dari luar bandar ke bandar merupakan satu isu yang perlu diberi perhatian.


“Sekiranya anda ke rumah-rumah panjang di sana anda akan lihat hanya warga emas sahaja yang masih tinggal di situ. 


"Saya bimbang dalam masa 50 tahun akan datang tiada orang yang akan tinggal di rumah-rumah panjang berkenaan," ujarnya.


Katanya lagi, masyarakat hanya akan berkumpul pada musim perayaan sahaja dan di lain waktu hanya warga emas sahaja yang tinggal di rumah-rumah panjang.

Next Post Previous Post