Polis tahan tiga warga Bangladesh keluarkan permit kerja palsu

Polis menahan tiga lelaki warganegara Bangladesh di sekitar Shah Alam, Tiga lelaki mengeluar dan menjual permit kerja palsu kepada rakan senegara

SHAH ALAM-- Polis menahan tiga lelaki warganegara Bangladesh di sekitar Shah Alam kerana disyaki mengeluar dan menjual permit kerja palsu kepada rakan senegara sejak Oktober lepas. 


Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata penahanan dua suspek pertama berumur lingkungan 20 dan 30 tahun dibuat menerusi satu serbuan pada 7.30 malam di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, di sini pada Selasa lepas.


Beliau berkata hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek tinggal di Malaysia sejak kira-kira tiga tahun lepas dan bekerja di sekitar kawasan industri di Hicom Glenmarie serta didapati mula aktif menjalankan kegiatan memalsukan dan menjual permit palsu itu sejak Oktober. 


"Suspek menjalankan kegiatan mengedar serta menjual permit palsu kepada warganegara asing dengan menawarkan harga yang lebih murah dan cepat dengan harga setiap permit dianggarkan sebanyak RM200 dan kebanyakannya dibeli oleh warga Bangladesh," katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.


Mohd Iqbal berkata hasil penahanan suspek, pihak polis berjaya merampas beberapa peralatan iaitu sebuah komputer riba, sebuah mesin cetak, tiga pasport, 10 keping pas lawatan kerja sementara dan empat telefon bimbit.


Katanya, susulan penangkapan dua suspek terbabit, seorang lagi suspek warga Bangladesh berumur 30-an telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam malam tadi dan dipercayai terlibat dalam kes terbabit. 


Beliau berkata dua suspek pertama telah direman hingga 3 Dis manakala suspek ketiga akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.