Polis Sarawak rampas dadah bernilai RM39,058 dalam tempoh tiga hari operasi

Polis Sarawak menahan 240 individu dan merampas pelbagai dadah, Polis Sarawak rampas dadah bernilai RM39,058 dalam tempoh tiga hari operasi

KUCHING—Polis Sarawak berjaya menahan 240 individu dan merampas pelbagai dadah bernilai RM39,058 dalam Op Tapis Khas yang dijalankan pada 6 hingga 8 Dis lepas di seluruh negeri ini.


Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kejayaan itu juga adalah hasil daripada 154 serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan di beberapa kawasan 'pot-pot aktif', perumahan, perkampungan dan tempat yang digunakan untuk aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.


Katanya, daripada sejumlah 240 individu yang ditahan itu, sejumlah 230 adalah lelaki manakala 10 wanita yang berusia antara  17 hingga 70 tahun.


"Sementara dadah yang dirampas itu adalah jenis Methamphetamine sebanyak 385.78 gram, Pil Erimin 5 sebanyak 1.94 gram dan sejumlah 7.85 gram pil ekstasi. 


"Keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 1,961 penagih.  Dalam operasi itu, polis turut menyita dua kenderaan di kawasan Padawan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan," katanya pada sidang media Op Tapis Khas SeMalaysia ketujuh di sini, hari ini, lapor Bernama.


Secara keseluruhannya, Mohd Azman berkata dalam  tempoh antara 1 Jan dan 8 Dis, Polis Sarawak telah menangkap seramai 8,717 individu dan merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM11,909,156.10, manakala harta yang disita bernilai RM3,406,654.22.

LihatTutupKomentar