PM Anwar umum dua TPM dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan



KUALA LUMPUR—Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri serta 28 Jemaah Menteri yang menganggotai Kabinet kerajaan perpaduan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Pengumuman barisan Kabinet di Putrajaya pada kira-kira 8.20 malam itu disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen serta platform media sosial dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar, 75, turut  memegang portfolio Menteri Kewangan.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Nov lepas.
Next Post Previous Post