PH Sarawak terima keputusan Anwar demi kestabilan negara


KUCHING-- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen menjelaskan ketiadaan Ahli Parlimen DAP Sarawak dilantik dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan adalah berikutan situasi 'rumit' landskap politik semasa di negara ini.


Jelas Ahli Parlimen Stampin itu, beliau menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka meskipun Ahli Parlimen DAP Sarawak dikecualikan daripada jawatan berkenaan.


Malah, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubunginya sebelum pengumuman jawatan Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan itu malam tadi bagi menjelaskan perkara berkenaan.


"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri yang telah menghubungi saya malam tadi sebelum pengumuman itu, menjelaskan situasi rumit landskap politik semasa di negara ini dan permintaan beberapa pihak agar Ahli Parlimen DAP Sarawak dikecualikan daripada jawatan tersebut.


"Kami faham bahawa dalam keadaan sekarang, kepentingan negara untuk kestabilan politik dan kerajaan yang lebih kukuh mengatasi semua kepentingan dan kedudukan peribadi. 


"Seperti yang telah dijelaskan oleh Setiausaha Agung parti, Anthony Loke, sokongan DAP kepada Datuk Seri Anwar untuk menjadi Perdana Menteri adalah tanpa syarat, kami menerima apa sahaja pertimbangan yang dibuat oleh Perdana Menteri untuk kerajaan yang lebih stabil," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.


Sehubungan itu, Chong mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen yang telah dilantik sebagai timbalan menteri dan berharap mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik demi membawa kemajuan di negara ini.


"Kami amat percaya bahawa dengan PH sebagai tulang belakang kerajaan sekarang, Pentadbiran akan jauh lebih baik dari zaman korupsi dan kronisme dulu. 


"Mereka yang telah terbiasa dengan cara lama Barisan Nasional menjalankan kerajaan perlu berubah menjadi lebih bertanggungjawab," tegasnya.


Sementara itu, beliau menyeru ahli dan penyokong DAP untuk tidak kecewa dengan keadaan semasa ini.


"Semua Ahli Parlimen DAP Sarawak yang dipilih akan terus memainkan peranan kita sebagai pelapis kerajaan dan menyuarakan suara untuk rakyat Sarawak. 


"Kami akan melakukan yang terbaik untuk menyediakan semak dan imbang yang diperlukan di Parlimen dan memastikan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dipatuhi oleh kementerian dan agensi kerajaan," ujarnya.


Mengenai parti, Chong berkata, DAP Sarawak akan mengadakan pertemuan di Kuching pagi esok pada pukul 11:00 pagi untuk membincangkan hala tuju parti itu untuk 5 tahun akan datang.


Tegasnya, walaupun sesetengah pihak di Sarawak mahu melihat DAP Sarawak lemah, beliau sangat percaya, selagi rakyat bersama DAP, pihaknya akan dapat menepis segala kemungkinan untuk menjadi lebih kuat. 


"Kekuatan kita terletak pada sokongan daripada rakyat, bukannya bilangan Menteri atau timbalan menteri.


"Lebih penting lagi, kami akan terus berpegang pada cita-cita kami dan meneruskan perjuangan kami untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik dan meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia," tambahnya lagi.

Next Post Previous Post