Mahkamah Persekutuan kekalkan hukuman mati terhadap 2 anggota pasukan SMART


PUTRAJAYA—Dua anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan, bagi mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap mereka atas kesalahan membunuh seorang operator kolam ikan, tujuh tahun lepas.


Panel tiga hakim yang bersidang iaitu Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, sebulat suara menolak rayuan Syazwan Saad dan Iskandar Zulkarnain Abdul Manaf, terhadap sabitan dan jatuh hukuman terhadap mereka.


Hakim Abdul Rahman yang mempengerusikan sidang itu berkata adalah menjadi dapatan mahkamah bahawa, keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan oleh pendakwaan mencukupi untuk membuktikan kesalahan kedua-dua lelaki itu bagi pembunuhan tersebut.


“Setelah membuat pertimbangan yang teliti, kami yakin bahawa Mahkamah Rayuan adalah tepat dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya, lapor Bernama.


Syazwan, 36, dan Iskandar, 35, didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 30 Ogos 2016 kerana membunuh Alias Mat Noor, 52, di Lombong Tembatan Banjir, Lingkaran Putrajaya, Cyberjaya, Sepang, Selangor antara 11 malam pada 7 Julai 2015 dan 6 petang 10 Julai 2015.


Rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 20 Okt tahun lepas juga ditolak, sebelum mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.


Mengikut fakta kes, pada 8 Julai 2015, si mati sepatutnya mengambil anak lelakinya untuk ke kebun duriannya, namun beliau tidak tiba. Anak lelakinya cuba untuk menghubungi beliau dan telah pergi mencari lelaki itu sepanjang hari, namun gagal.


Pada 10 Julai 2015, pihak polis menerima maklumat bahawa satu mayat yang tidak dikenali ditemukan terapung di kolam tebatan banjir.


Beberapa hari kemudian, anak lelaki dan wanita si mati telah mengenal pasti mayat itu sebagai bapa mereka di Hospital Serang.


Abang mangsa yang bekerja di kebun durian milik lelaki itu, telah memberikan keterangan bahawa beliau telah melihat Alias bersama dua lelaki yang tidak dikenali pada 7 Julai 2015, dalam sebuah Pajero berwarna merah.


Seorang lagi saksi pendakwaan yang merupakan pegawai penyelia Iskandar, memberikan keterangan bahawa beliau telah menerima mesej Whatsapp daripada Lim Chun Jie, yang mengandungi maklumat kad pengenalan mangsa dan mesej menyatakan “kasi settle”.


Lim, seorang pengurus pemasaran, 31, dituduh bersubahat dengan Syazwan dan Iskandar untuk melakuan pembunuhan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama.


Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya, namun Mahkamah Rayuan membebaskan dan melepaskan beliau. Pihak pendakwaan tidak merayu keputusan tersebut.


Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Kee Wei Lon mewakili Syazwan manakala Peguam Andrew Lourdes mewakili Iskandar.


Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Natchiar dan Aida Khairuleen Azli hadir bagi pihak pendakwaan.

Next Post Previous Post