Fitnah terima gaji RM15 juta, Anwar saman Muhyiddin

Fitnah mengenai dakwaan menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat, Anwar saman Muhyiddin, Fitnah terima gaji RM15 juta

KUALA LUMPUR-- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapan berbaur fitnah mengenai dakwaan beliau menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.


Anwar, 75, memfailkan saman itu menerusi Tetuan S.N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di sini, dengan menamakan Muhyiddin, 75, sebagai defendan tunggal.


Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 5 Dis lepas, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) telah membuat kenyataan itu dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut.


Pengerusi Pakatan Harapan itu mendakwa ucapan dalam ceramah itu telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula di aplikasi TikTok di bawah nama “@beritakini8”, yang telah mendapat tontonan melebihi 1.1 juta kali, 6,061 komen, melebihi 21,400 butang ‘like’, melebihi 1,360 butang ’favourite’, dan 2,169 kali perkongsian setakat tarikh notis tuntutan plaintif bertarikh 7 Dis.


Dakwanya, kenyataan fitnah itu telah dipetik oleh MalaysiaKini dan ia diterbitkan menerusi artikel di portal berkenaan bertajuk “MB’s aide to Muhyiddin: Anwar paid RM1 as S’gor economic adviser” pada hari sama (7 Dis).


Anwar mendakwa, pada keesokannya, keseluruhan ucapan dalam ceramah tersebut telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula oleh Muhyiddin di akaun Facebooknya di bawah nama ‘Muhyiddin Yassin’ dengan mendapat tontonan melebihi 42,000 kali, 506 komen, melebihi 2,800 reaksi dan 48 perkongsian setakat tarikh pemfailan saman itu.


Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Negeri Selangor sebagai Penasihat Ekonomi dan menipu orang ramai dengan menyatakan bahawa beliau telah menerima RM1 sebagai gaji untuk perkhidmatan beliau sebagai Penasihat Ekonomi.


Beliau mendakwa kenyataan-kenyataan fitnah itu dirancang terlebih dahulu bertujuan untuk memperlekehkan, memfitnah reputasi serta perwatakan plaintif secara serius selain memburukkan nama baik dan karakternya yang merupakan seorang penyokong teguh kedaulatan undang-undang serta reformasi sosial.


“Dalam memberi kenyataan dalam ucapan itu, jelas defendan berniat jahat dengan tidak mengendahkan jawapan rasmi bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri (Abdul) Khalid Ibrahim semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 27 Mac 2012, yang beliau (Khalid) telah menyatakan secara jelas bahawa gaji saya sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor hanyalah jumlah simbolik RM1,” dakwa plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.


Anwar mendakwa Muhyiddin juga keberatan untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut, malah terus menerbitkannya dan tidak memadamkannya sehingga kini, walaupun beliau telah menafikannya.


Sehubungan itu, Anwar menuntut Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan dan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.


Peguam Datuk S.N. Nair, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi Bernama berkata saman itu difailkan pada 10.30 pagi tadi.

LihatTutupKomentar