DAP kekal pembangkang di Sarawak, main peranan sebagai tulang belakang Kerajaan Perpaduan


KUCHING-- Semua Ahli Parlimen DAP Sarawak yang dipilih akan terus memainkan peranan sebagai tulang belakang kerajaan persekutuan dalam menyuarakan suara untuk rakyat Sarawak.


Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, DAP Sarawak akan melakukan yang terbaik sebagai semak dan imbang yang diperlukan di Parlimen dan memastikan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dipatuhi oleh kementerian dan agensi kerajaan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini. 


"Di Sarawak sendiri, kita akan terus memainkan peranan kita sebagai pembangkang yang membina untuk menegakkan prinsip akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam sistem demokrasi kita untuk manfaat rakyat Sarawak.


"Adalah menjadi kepentingan rakyat Sarawak untuk mempunyai keseimbangan dan akauntabiliti yang kukuh dalam negeri dan kami sebagai DAP Sarawak akan terus memainkan peranan itu untuk mengukuhkan demokrasi dan tadbir urus yang baik di Sarawak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini hari ini. 


Terdahulu, Chong memberitahu, Jawatankuasa DAP Negeri Sarawak hari ini telah bermesyuarat untuk membincangkan secara mendalam tentang senario politik semasa di Malaysia. 


Selain itu, katanya, pihaknya turut membincangkan tentang peranan serta kedudukan DAP sebagai sebuah parti untuk meneruskan prinsip tadbir urus yang baik dan multiculturalism untuk manfaat semua rakyat Malaysia.


"Kami memahami bahawa dengan situasi semasa terutamanya memandangkan cabaran ekonomi yang akan datang dan kebangkitan konservatisme agama, kepentingan negara untuk kestabilan politik dan kerajaan berbilang budaya yang lebih kukuh mengatasi semua kepentingan dan kedudukan peribadi.


"Kami berterima kasih kepada semua penyokong kami, yang melalui undian mereka membantu mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) di Malaysia dan di Sarawak yang menjadikan kami blok dominan dalam penubuhan Kerajaan Persekutuan ketika ini," tambahnya. 


Justeru, beliau berkata, DAP Sarawak amat percaya bahawa dengan PH sebagai tulang belakang kerajaan sekarang, prinsip utama tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti akan terus menjadi agenda utama. 


"Kami akan terus melakukan usaha nyata untuk menjauhkan diri dari zaman korupsi, kronisme dan kekurangan akauntabiliti," ujarnya.

Next Post Previous Post