DAP berjaya yakinkan GPS sokong Anwar demi selamatkan sekularisme negara, kebebasan beragama


KUCHING—Inisiatif Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak telah berjaya menghalang BERSATU dan PAS daripada menjadi kerajaan persekutuan, sekali gus menyelamatkan sekularisme negara dan kebebasan beragama.


Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata,  perjuangan DAP bukan untuk jawatan menteri, tetapi untuk melihat cita-cita parti itu dilaksanakan sebagai dasar untuk kebaikan rakyat dan negara.


"Kita (DAP) berjaya meyakinkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk berubah daripada sokongan awalnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Meskipun GPS mempunyai jawatan menteri, namun mereka kini tertakluk kepada prinsip asas Pakatan Harapan (PH) iaitu ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik," katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.


Tambahnya, dengan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan yang diterajui PH, beliau yakin kerajaan baharu dapat mengurus tadbir negara ke arah yang lebih baik dan lari dari unsur rasuah dan penyelewengan.


"Kami DAP akan terus memainkan peranan kami untuk memastikan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dilaksanakan dalam kerajaan baharu.


"Walaupun ada segelintir pihak yang mahukan DAP Sarawak dilemah dan dihapuskan, kita harus bekerja lebih keras untuk memastikan bukan sahaja kita tidak akan lemah, malah kita akan terus menjadi lebih kuat.


"Kita mesti berpegang pada cita-cita kita dan meneruskan perjuangan kita untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang lebih baik untuk anak-anak kita dan generasi akan datang, sebuah negara yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya. 


Sehubungan itu, Chong meminta penyokongnya supaya tidak kecewa selepas tiada Ahli Parlimen daripada parti itu dilantik sebagai menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan yang baharu. 


Tegasnya, perjuangan parti itu bukan untuk jawatan menteri, tetapi melihat bahawa cita-cita mereka dilaksanakan sebagai dasar untuk kebaikan rakyat dan negara. 


"Kami mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri atas pengumuman kabinet penuh dan kami dimaklumkan terdapat segelintir pihak yang mendesak supaya mana-mana Ahli Parlimen DAP Sarawak dikecualikan daripada kabinet menteri sebagai ganti sokongan kepada Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri dan demi kepentingan umum negara, kestabilan dan sokongan yang lebih kukuh, Perdana Menteri bersetuju dengan permintaan tersebut," ujarnya lagi.

Next Post Previous Post