Budak perempuan 2 tahun korban pertama banjir di Terengganu

korban banjir di Terengganu, kejadian banjir di Kampung Apal, Budak perempuan 2 tahun korban pertama banjir di Terengganu

JERTIH— Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun menjadi korban pertama banjir di Terengganu kali ini dalam kejadian di Kampung Apal di sini hari ini.


Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata Nur Hilwa Idris Mohd Haris Zaifan ditemukan terapung dalam parit kira-kira 20 meter dari rumah tempat mangsa dikatakan terjatuh pada kira-kira 3.40 petang tadi.


“Kejadian dikatakan berlaku ketika ibu saudara mangsa yang berada di rumah sedang bersiap-siap untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana paras air semakin meningkat sebelum mendapati mangsa telah keluar sendiri melalui pintu dapur.


“Mangsa dikatakan terjatuh di dalam air banjir dan dihanyutkan arus dalam kejadian itu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.


Beliau berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut.


Rohaimi turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan berhati-hati sepanjang tempoh monsun timur laut (MTL) ini.


“Elakkan anak-anak kecil bermain air di musim banjir kerana membahayakan nyawa mereka.


“Ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan agar lebih berhati-hati dan peka terhadap keselamatan anak-anak pada musim MTL ini," kata beliau yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga kanak-kanak itu.


Katanya keprihatinan ibu bapa amat penting supaya musibah seperti itu dapat dicegah daripada berulang.

LihatTutupKomentar