3 remaja maut, kereta langgar pembahagi jalan

Keadaan kereta dinaiki tiga remaja yang melanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Kilometer 63.5 Jalan Alor Setar-Butterworth awal pagi tadi. Gambar kredit PDRM

SUNGAI PETANI-- Tiga remaja lelaki maut manakala dua lagi rakan mereka cedera selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Kilometer 63.5 Jalan Alor Setar-Butterworth berhampiran Padang Temusu dekat sini, 2.30 pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata kereta jenis Honda EG yang dinaiki mereka dalam perjalanan dari arah Bakar Arang ke Padang Temusu, dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.


Beliau berkata tiga mangsa terbabit terdiri daripada pemandu Muhammad Aiman Rusdi, 17; Muhammad Izani Mohd Tuah, 15 (penumpang hadapan); dan Muhammad Iman Mohd Akhir, 17, (penumpang belakang, kiri), maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.


“Penumpang belakang (kanan), Muhammad Zulhakim Zulkhairi, 17, mengalami cedera parah dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala seorang lagi mangsa, Alif Danial Abdul Aziz, 15, (penumpang belakang, tengah) hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini, lapor Bernama.


Menurutnya, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


“Maklumat awal yang diperolehi ialah kesemua mangsa tidak lagi bersekolah dan dua daripada mangsa bekerja secara sambilan.


“Manakala pemandu kereta terbabit yang memandu kereta milik abangnya, tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.

Next Post Previous Post