13 individu ditahan curi rel kereta api seberat 72 tan

Rel kereta api itu hilang di kawasan laman Stesen Keretapi Gemas, di Tampin membabitkan kerugian RM90,000. Gambar hiasan

SEREMBAN— Polis menahan 13 individu termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kes kehilangan rel kereta api anggaran seberat 72 tan membabitkan kerugian RM90,000 di kawasan laman Stesen Keretapi Gemas, di Tampin.


Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab berkata polis menerima laporan berkenaan kehilangan aset Keretapi Tanah Melayu Berhad itu daripada seorang wanita yang juga Pegawai Tadbir Perbadanan Aset Keretapi (RAC) pada 16 Dis lepas.


Beliau berkata suspek terdiri daripada seorang wanita dan 12 lelaki berusia lingkungan 35 hingga 56 tahun dan tangkapan dilakukan secara berperingkat di Rompin, Pahang, Jalan Campbell di Seremban, Klang, Selangor dan Masai, Johor.


“Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan bersama pasukan risikan operasi Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tampin telah melakukan beberapa siri tangkapan bermula 19 Dis sehingga hari ini.


“Siasatan awal mendapati pekerja syarikat yang mengaku bekerja di bawah RAC bagi tugasan pengambilan harta benda (besi landasan terpakai) telah mengambil rel terpakai tersebut dengan menunjukkan surat palsu dari RAC,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini, lapor Bernama.


Beliau berkata polis turut merampas barang kes iaitu empat telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux hitam, dua keping invois pembelian besi buruk, tiga lori jenis Scania berserta kunci dan 10 kepingan besi rel KTM seberat lebih kurang 24 tan,” katanya.


Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek kini ditahan reman empat hari dari tarikh tangkapan.

Next Post Previous Post