Warisan tanding di 53 kerusi Parlimen seluruh negara

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU— Parti Warisan (Warisan) setakat hari ini mengesahkan untuk bertanding di 53 kerusi Parlimen seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.


Beliau berkata daripada jumlah itu Warisan bertanding di kesemua 25 kerusi Parlimen di Sabah, satu di Labuan, manakala 27 kerusi Parlimen lagi di Semenanjung.


“Bila kita nak bertanding kena pastikan boleh menang, bukan nak tanding memenuhi kehendak orang...kita nak pertimbangan (calon) selain berkebolehan, berilmu, mampu memenanginya (kerusi ditandingi), kita mahu calon ini ada jiwa dia.


“Persoalan sama ada 53 kerusi (Parlimen ditandingi) kita yakin Sarawak dan Sabah satu blok penting, semua ahli Parlimen pertahan hak kita terutama MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) jangan hanya janji,” katanya pada sidang media selepas Pengumuman dan Penyampaian Watikah Calon PRU15 Warisan di sini hari ini, lapor Bernama.


Beliau berkata Warisan sedang meneliti beberapa kerusi Parlimen lagi di Semenanjung untuk ditandingi dan tidak menolak menambah bilangan itu sekiranya mendapat maklum balas positif pengundi serta mempunyai calon mampu menang di kawasan berkenaan.


Sementara itu, pada majlis tersebut Mohd Shafie mengumumkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Semporna yang disandangnya selama enam penggal, iaitu lima penggal di bawah Barisan Nasional (BN) bermula PRU9 pada 1995, manakala PRU14 pada 2018 atas tiket Warisan.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, turut mengumumkan Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking yang juga ADUN Moyog akan mempertahankan kerusi Parlimen Penampang, manakala Ketua Penerangan parti Datuk Mohd Azis Jamman mempertahankan kerusi Parlimen Sepanggar.


Antara calon mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing ialah Ketua Wirawati Warisan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti Datuk Rozman Isli (Labuan), dan AMT parti Ma'mun Sulaiman (Kalabakan).


Menurutnya antara calon muka baharu pula terdiri daripada Ketua Wira Warisan Mohd Ismail Ayob (Kinabatangan), Timbalan Ketua Wirawati parti Jo-Anna Sue Henly Rampas (Tuaran), dan Ketua Bahagian Warisan Ranau Markos Siton (Ranau).


Selain Mohd Shafie dan Darrel, ADUN yang dicalonkan terdiri daripada ADUN Bongawan Dr Daud Yusof (Kimanis), dan ADUN Sekong Alias Sani (Batu Sapi), manakala bekas ADUN Lahad Datu Datuk Mohammad Yusof Apdal yang juga adik Mohd Shafie bertanding di kerusi Parlimen Lahad Datu.


Mohd Shafie berkata bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bugaya, Warisan meletakkan peguam syariah Jamil Hamzah.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan tiga calon untuk kerusi di Semenanjung iaitu pemaju hartanah Leong Cheok Lung di Parlimen Kampar (Perak), jurutera awam Rahim Awang di Parlimen Kapar (Selangor), dan peguam Leong Cheok Keng di DUN Malim Nawar (Perak).

Berikut senarai calon Warisan diumumkan hari ini untuk PRU15:

 

SABAH

P167 Kudat - Rashid Harun

P168 Kota Marudu - Datuk Jilid Kuminding

P169 Kota Belud - Isnaraissah Munirah Majilis

P170 Tuaran - Jo-Anna Sue Henly Rampas

P171 Sepanggar - Datuk Mohd Azis Jamman

P172 Kota Kinabalu - Amanda Yeo

P173 Putatan - Ahmad Mohd Said

P174 Penampang - Datuk Darell Leiking

P175 Papar - Ahmad Hassan

P176 Kimanis - Dr Daud Yusof

P177 Beaufort - Masri Adul

P178 Sipitang - Datuk Adnan Puteh

P179 Ranau - Markos Siton

P180 Keningau - Rasinin Koutis

P181 Tenom - Ukim Buandi

P182 Pensiangan - Siti Noorhasmahwatty Osman

P183 Beluran - Rowiena Rasid

P184 Libaran - Sh Bokrata SH Hassan

P185 Batu Sapi - Alias Sani

P186 Sandakan - Alex Thien

P187 Kinabatangan - Mohd Ismail Ayob

P188 Lahad Datu - Datuk Mohammad Yusof Apdal

P189 Semporna - Datuk Seri Mohd Shafie Apdal 

P190 Tawau - Chen Ket Chuin

P191 Kalabakan - Ma'mun Sulaiman

 

PRK DUN BUGAYA

N66 - Jamil Hamzah

 

LABUAN

P166 Labuan - Datuk Rozman Isli

 

PERAK

P070 Kampar - Leong Cheok Lung

N41 Malim Nawar - Leong Cheok Keng

 

SELANGOR

P109 Kapar - Rahim Awang

Next Post Previous Post