Warisan sokong PH, BN bentuk kerajaan

Shafie Apdal berkata, PH dan BN sepatutnya diberi peluang pertama untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu.

KOTA KINABALU— Parti Warisan (Warisan) hari ini menyatakan sokongannya kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan Persekutuan baharu susulan berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata PH dan BN sepatutnya diberi peluang pertama untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu.


“Warisan memberi sokongan kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional kerana kedua-duanya mempunyai bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan (Persekutuan) dan majoriti rakyat telah mengundi untuk Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.


“Sokongan ini juga atas premis bahawa kerajaan Persekutuan yang baharu akan memenuhi kesemua 21 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.


Mohd Shafie berkata Warisan berharap PH bersama-sama BN akan mendapatkan rakan kerjasama yang membolehkan pembentukan kerajaan Persekutuan yang boleh membawa kestabilan politik dan perpaduan kepada negara.


Dalam PRU15, Warisan memenangi tiga daripada 52 kerusi Parlimen yang ditandingi menerusi Mohd Shafie (Semporna), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud) dan Datuk Mohamad Yusof Apdal (Lahad Datu).


PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung, dengan PH meraih 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahtraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu.

Next Post Previous Post