Untung bersih Sarawak Oil Palms susut kepada RM82.33 juta

Prestasi itu disebabkan oleh peningkatan kos pengeluaran akibat kenaikan harga baja dan tenaga kerja.

KUALA LUMPUR— Keuntungan bersih Sarawak Oil Palms Bhd bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir pada 30 Sept, 2022 susut kepada RM82.33 juta daripada RM124.48 juta dalam tempoh sama sebelum ini.


Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat peladang dan penapis minyak sawit itu berkata prestasi itu disebabkan oleh peningkatan kos pengeluaran akibat kenaikan harga baja dan tenaga kerja berbanding dengan suku ketiga pada 2021.


Selain itu, keuntungan sebelum cukai bagi suku semasa berjumlah RM113.8 juta berbanding RM175.4 juta dalam suku sama sebelum ini, lapor Bernama.


Kumpulan itu juga menjangkakan prestasinya akan terus dipacu oleh pengeluaran buah tandan segar yang sebelum ini terjejas akibat isu kekurangan pekerja serta pergerakan harga minyak makan dunia.


Menurut Sarawak Oil Palms, keadaan itu diburukkan lagi oleh impak rantaian bekalan membabitkan baja, bahan kimia serta harga minyak yang menjejaskan kos pengeluaran.


“Sekiranya harga komoditi semasa dapat dikekalkan, kumpulan ini menjangka dapat mengekalkan prestasi kewangan yang baik,” katanya.

Next Post Previous Post