Tiong marah, masalah banjir di Bintulu tidak pernah selesai

Tiong kecewa dengan masalah banjir kilat yang tiada penyelesaian di Bintulu

BINTULU—Duta Besar China ke Malaysia, Dato Seri Tiong King Sing melahirkan kekecewaan kepada pihak berwajib yang gagal menyelesaikan masalah banjir di Bintulu khususnya di kawasan bandar.


Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen P217 Bintulu berkata, masalah ini bagaikan tiada penyelesaian kerana banjir kilat tetap berlaku menyebabkan kerugian buat penduduk.


"Walaupun pihak pemaju sudah diberikan peringatan berkali-kali berkenaan pentingnya penyelenggaraan parit serta sistem perparitan, namun banjir kilat masih berlaku dan ia amat mengecewakan," 


Banjir kilat dua hari lepas merupakan antara terburuk pernah melanda Bintulu. Apa yang menyedihkan, ia berpunca daripada beberapa projek mega di sini,”katanya dalam kenyataan hari ini.


Tiong menambah, ramai penduduk mengeluh kerana terpaksa menanggung kerugian terutama di kawasan-kawasan perumahan dan penempatan sekitar Bintulu yang terjejas teruk.


Sehubungan itu katanya, beliau pada Jumaat akan bermesyuarat bersama Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta agensi berkaitan bagi membincangkan langkah penyelesaian yang terbaik.


"Saya mahu mesyuarat bersama Jabatan Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu dihadiri oleh setiap ketua jabatan atau agensi bukannya hantar wakil,” katanya.


Tiong turut mempersoal projek pembinaan termasuk sistem perparitan yang tidak efisyen memyebabkan pengaliran air tidak lancar sehingga menyebabkan banjir kilat.

Next Post Previous Post