Notification

×

Iklan

Iklan

PRU15: Pengundi Limbang, Baram terpaksa redah banjir tunai kewajipan mengundi

| November 19, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-19T06:20:19Z
Gambar kredit Bomba

KUCHING—Pengundi di empat pusat pengundian di Limbang dan Baram terpaksa meredah banjir untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan empat pusat pengundian yang terkesan akibat banjir itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Telahak dan SK Meritam di Limbang serta SK Dato Sarif, Kampung Narum, Marudi dan SK Long Bemang di Baram.



Maklumat daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak menyatakan trend air meningkat dilaporkan di SK Meritam setinggi satu meter dan SK Telahak (0.6 meter), sementara trend menurun dicatatkan di SK Long Bemang (0.33 meter), lapor Bernama.


Turut dilaporkan keadaan banjir yang melibatkan laluan menuju ke SK Dato Sarif dengan paras air berada 0.08 meter dari paras jalan raya.



Di sebalik keadaan bencana alam ini, proses pengundian untuk PRU15 di kawasan berkenaan berjalan lancar.


Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri yang ditemui pemberita di sini hari ini berkata Ketua Polis Daerah di kawasan terkesan banjir berkenaan melaporkan proses pengundian berlangsung lancar setakat ini.


Katanya, Polis Sarawak bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan keadaan banjir itu tidak menjejaskan perjalanan proses berkenaan.


"Sehingga kini saya tidak menerima sebarang (laporan) permasalahan (namun), kita akan sentiasa kemas kini (perkembangan terkini). Nanti petang kita akan keluarkan (kenyataan) selepas proses pengundian tutup (selesai)," tambahnya.


Semalam, media tempatan melaporkan SPR akan membuat keputusan sama ada pengundian di Parlimen Baram diteruskan hari ini atau ditangguhkan selepas cuaca buruk menghalang usaha menghantar petugas pilihan raya ke 24 daripada 194 pusat mengundi di kawasan Parlimen itu.

×
Berita Terbaru Update