PRU15: Lebih 200 bendera PH dicabut, dibuang ke parit

Bendera Pakatan Harapan dicabut dan dibuang ke dalam parit, dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Gambar kredit FB

KLUANG— Lebih 200 bendera Pakatan Harapan (PH) yang dipasang di sepanjang laluan Kampung Parit Kuari dekat Ayer Hitam di sini dicabut dan dibuang ke dalam parit, dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.


Calon PH bagi Parlimen Ayer Hitam Sheikh Umar Bagharib Ali menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata para petugas yang memacak bendera menyedari kejadian itu sekitar 8 pagi semalam selepas enam jam dipasang.



“Kami amat kecewa terhadap sikap politik samseng sebegini dan mengutuk mana-mana pihak yang menggunakan taktik kotor serta tidak bertamadun dalam pilihan raya.


“Sikap ini telah mencalarkan demokrasi yang membenarkan parti-parti politik berkempen secara sihat dan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga pihak berkuasa,” katanya.


Bagaimanapun, Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor telah mengarahkan petugas PH di Parlimen itu supaya tidak melakukan sebarang tindak balas di luar sempadan undang-undang pilihan raya.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung insiden bendera parti politik dicabut atau dibuang.


Pada Pilihan Raya Umum ke-15, kerusi Parlimen itu akan menyaksikan persaingan tiga penjuru melibatkan penyandang Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dari Barisan Nasional, Sheikh Umar dan calon Perikatan Nasional Muhammad Syafiq A. Aziz.


Pada PRU lepas, Wee memenangi parlimen itu dengan majoriti tipis sebanyak 303 undi.


SPR menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian PRU15, manakala pengundian awal pada 15 Nov.

Next Post Previous Post