Pindah 20 ekor kambing tanpa kebenaran, penternak didenda RM5,000

Seorang penternak kambing didenda RM5,000 oleh Mahkamah, Pindah 20 ekor kambing tanpa kebenaran, penternak didenda RM5,000

BUKIT MERTAJAM—Seorang penternak kambing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memindah 20 ekor kambing jantan hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang pada Oktober lepas.


S. Davamaran, 42, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.


Lelaki itu didakwa memindahkan 20 ekor kambing jantan hidup di Jalan Ara Kuda di sini dengan menggunakan kenderaan lori bernombor pendaftaran PJW2145, tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar atau mana-mana pihak berkuasa veterinar pada 21 Okt lepas lebih kurang 6.30 petang, lapor Bernama.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perintah 4 (1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 perintah bawah Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000.


Mohd Harith juga memerintahkan agar wang cagaran 20 ekor kambing bernilai RM6,000 dilucutkan hak kepada Jabatan Veterinar manakala lori akan dikembalikan selepas denda RM5,000 dibayar. Davamaran telah membayar denda berkenaan.


Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Roziman Awang Tahrin manakala Davamaran tidak diwakili peguam.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.