Penternakan poltri Sarawak capai 100 peratus kadar sara diri

Penternakan poltri Sarawak capai 100 peratus kadar sara diri

KUCHING—Sarawak mencapai Kadar Sara Diri (SSR) dalam penternakan poltri dengan mencapai 100 peratus SSR dalam penghasilan telur dan 95 peratus untuk ayam pedaging.


Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata pada masa ini terdapat 311 ladang poltri berlesen di Sarawak.


“Pengeluaran ayam pedaging pada masa ini ialah 1,300 tan metrik sebulan, manakala purata pengeluaran telur ialah 55 juta biji sebulan.


“Dengan adanya peningkatan permintaan untuk ternakan poltri, kerajaan Sarawak akan terus membangunkan industri poltri bagi menjadikan negeri ini sebagai pengeluar produk poltri utama di wilayah ini,” katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak berkaitan bajet negeri itu tahun hadapan, lapor Bernama.


Sementara itu Dr Rundi berkata kadar SSR daging negeri itu berada pada kadar 12 peratus dan 5.5 peratus untuk kambing.


Beliau berkata populasi lembu dan kerbau di Sarawak masing-masing dianggarkan kira-kira 17,000 dan 7,300 ekor manakala populasi kambing dan biri-biri ialah 14,000 ekor.


Dr Rundi berkata di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030), kementeriannya telah menetapkan sasaran mencapai SSR 25 peratus untuk daging lembu dan kambing pada 2030.


“Untuk mencapai sasaran ini, populasi kira-kira 60,000 ekor lembu pedaging dan 20,000 ekor kerbau dan 215,000 ekor kambing dan biri-biri diperlukan,” katanya.


Dr Rundi berkata Sarawak juga telah berjaya meningkatkan SSR untuk susu segar daripada hanya  satu peratus pada 2016, kepada 25 peratus pada masa ini.


“Ini dicapai terutamanya dengan pembangunan Ladang Susu swasta moden pada 2016 di Kampung Panchor Serian dengan populasi lembu susu 250 ekor,” katanya.

LihatTutupKomentar