Pengasuh nekad redah asap tebal dukung bayi 3 bulan selamatkan diri daripada kebakaran
Keadaan rumah di Kampung Baru yang musnah terbakar dalam kejadian malam tadi. Gambar kredit Bomba |
KUALA LUMPUR—Seorang pengasuh nekad meredah asap tebal sambil mendukung bayi lelaki berusia tiga bulan bagi menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran rumah di Jalan Raja Muda Musa, yang terletak berhampiran pintu gerbang Kampung Baru di sini malam ini.
Robiah Abdul Raof, 38, berkata ketika kejadian dia bersama bayi yang dijaganya berada di dalam rumah sebelum terlihat asap di bahagian atas, lapor Bernama.
"Ketika itu, bayi sedang tidur dan saya segera keluar menyelamatkan diri tanpa sempat membawa pakaian atau dokumen pengenalan.
"Keadaan ketika itu api sedang marak (di tingkat atas) dan asap banyak tetapi saya nekad untuk selamatkan diri dan bayi yang saya asuh sejak tiga bulan lepas. Ketika kejadian, ibu bapa bayi itu sedang bekerja," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Robiah masih trauma namun bersyukur kerana bertindak pantas menyelamatkan dirinya dan bayi itu.
Abdul Rahman Maarif, 65, pula berkata rumah miliknya di premis itu menempatkan sembilan pekerja beliau yang bekerja di sebuah kedai makan berhampiran.
Beliau mendakwa kebakaran itu berpunca daripada litar pintas susulan keadaan rumah yang sudah berusia 60 tahun.
"Sebelum ini, pekerja ada beritahu ada masalah wayar dan saya sudah baiki tetapi kali ini, jadi sekali lagi sebelum berlaku kebakaran malam ini," katanya.
Dalam kejadian pada 8.19 malam tadi, sebuah premis kediaman yang mempunyai lima pintu rumah musnah dalam kebakaran.
Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba Rahmat Kamarulzaman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 8.19 malam.
Beliau berkata seramai 36 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Sentul, Jalan Tun Razak dan Hang Tuah serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dikerah ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah yang mempunyai lima pintu (rumah) terbakar 90 peratus… tindakan operasi pemadaman menggunakan teknik offensive dan defensive dengan membuat cooling di rumah berhampiran.
"Tiada mangsa yang terlibat dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” menurutnya dalam satu kenyataan.