Musim banjir, penduduk berdekatan sungai diminta waspada

Lee (tengah) bersama penerima jaket keselamatan semasa kempen sungai di Kampung Piasau Utara hari ini. Kelihatan sama Jeffery (kiri) dan Adam (kanan).

MIRI-- Penduduk di kawasan sekitar sungai digesa sentiasa menjaga keselamatan terutama pada musim banjir.


Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, ini kerana pada musim banjir air sungai boleh mengalir dengan deras dan berisiko berlaku kemalangan.


"Ibu bapa perlu mengawasi keselamatan anak-anak. Orang awam juga diingatkan agar terus lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa," katanya.


Lee berkata demikian pada Kempen Kesedaran Awam, Kebersihan dan Keselamatan Sungai di Kampung Piasau Utara, Miri hari ini.


Kempen tersebut dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat setempat tentang kepentingan untuk memelihara serta menjaga kebersihan sungai.


Selain itu satu daripada program persediaan bagi menghadapi musim banjir yang dijangka akan berlaku dalam masa yang terdekat.


Lee menekankan pentingnya menjaga kebersihan di kawasan persekitaran sungai bagi mengekang jangkitan penyakit akibat sampah sarap dibawa oleh banjir.


Pada majlis tersebut, Lee turut mengagihkan jaket keselamatan kepada 130 nelayan dan penduduk tempatan di kawasan Piasau Utara.


Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Miri Adam Yii, Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Dr. Murni Suhaili, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Miri Kaunselor Jeffery Phang dan Ketua Kaum Kampung Piasau Utara Hipni Sulong.

Next Post Previous Post